EKONOMI > BERITA

HARGA MSM DIUNJUR DINIAGAKAN ANTARA RM4,400 HINGGA RM4,600 TAN PADA MAC - MPOC

17/03/2025 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan berubah-ubah antara RM4,400 dan RM4,600 setan pada Mac 2025, dipengaruhi oleh peningkatan persaingan daripada minyak kacang soya dan harga kompetitif di pasaran global.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata harga minyak sawit yang tinggi dan bekalan eksport yang terhad memberi kesan kepada penggunaan di pasaran utama seperti India dan China, terutama dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

“Inventori minyak sawit Malaysia merosot kepada 1.51 juta tan pada Februari 2025, paras terendah sejak April 2023, manakala pengeluaran daripada Januari hingga Februari tahun ini mencecah paras terendah dalam tiga tahun pada 2.42 juta tan berbanding 2.66 juta tan pada 2024 dan 2.63 juta tan pada 2023.

“Penurunan pengeluaran didorong oleh kelewatan menuai akibat hujan lebat dan pokok kelapa sawit yang tidak produktif berikutan pengeluaran kukuh pada awal 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pertumbuhan pengeluaran tahun ke tahun dijangka kembali pulih bermula bulan Ogos dan seterusnya.

Menurut MPOC, buat kali pertama sejak dalam beberapa tahun, import minyak sawit India dari Januari hingga Februari 2025 merosot kepada hanya 648,000 tan, susut berbanding import minyak kacang soya pada 727,000 tan.

Sementara itu, China hanya mengimport minyak sawit bagi memenuhi permintaan pasarannya, dengan purata 300,000 tan sebulan pada 2024.

Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat permintaan yang lebih lemah daripada pasaran tradisional, minyak sawit kekal sebagai peneraju harga pada suku pertama 2025, dengan eksport beralih ke pasaran baharu di Afrika sub-Sahara, didorong oleh pertumbuhan populasi tahunannya sebanyak 30 juta. 

Menurut MPOC, aliran ini dijangka berterusan sepanjang 2025, sekali gus memastikan eksport minyak sawit Malaysia kekal kukuh.

“Harga minyak sawit dijangka diniagakan mengikut julat pada minggu-minggu akan datang ketika peserta pasaran membuat spekulasi mengenai ketersediaan eksport dari Malaysia dan Indonesia, di tengah-engah pemulihan pengeluaran secara beransur-ansur mulai Mac dan seterusnya apabila musim tengkujuh berakhir.

“Selain itu, pertumbuhan negatif dalam penggunaan minyak sayuran untuk tujuan tenaga bermakna sebarang pengembangan permintaan pada 2025 perlu datang daripada sektor makanan dan bukan tenaga,” katanya.

MPOC berkata peralihan dalam dinamik permintaan akan mengehadkan potensi kenaikan harga dalam minyak sayuran.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan