EKONOMI > BERITA

ABB SASAR LEBIH BANYAK KERJASAMA DENGAN SYARIKAT TEMPATAN UNTUK PERALIHAN TENAGA MALAYSIA

18/03/2025 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Syarikat teknologi global, ABB Malaysia Sdn Bhd berminat untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan syarikat dan agensi tempatan untuk menyokong matlamat Malaysia dalam peralihan tenaga.

Naib Presiden Industri Tenaga bagi Asia Tenggara ABB Abhinav Harikumar berkata syarikat telah bekerjasama dengan organisasi seperti Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dalam kecekapan tenaga.

Ia juga bekerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam peningkatan kemahiran pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

“Dengan teknologi yang ada, ABB percaya teknologi seperti CCS, hidrogen dan lain-lain memerlukan kerjasama menyeluruh untuk melancarkan projek ini, mendapatkan pelaburan dan melaksanakannya.

“Oleh itu, dengan (misi) peralihan tenaga, kami amat komited dan sentiasa mencari kerjasama dengan penyedia teknologi lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Abhinav turut memuji komitmen Malaysia dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beliau berkata dengan adanya teknologi baharu ini, syarikat melihat peluang yang besar untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menambah baik operasi kemudahan sedia ada dengan menyepadukan tenaga lebih hijau dalam operasi semasa.

“Oleh itu, mencari peluang ini dan meningkatkan kebolehpercayaan operasi sedia ada, saya berpendapat itu adalah peluang yang boleh dicapai.

“Apabila melihat kepada jangka sederhana dan jangka panjang serta meneliti landskap industri, kita perlu terbuka terhadap teknologi baharu,” katanya.

ABB sebuah syarikat multinasional yang beribu pejabat di Zurich, Switzerland.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan