EKONOMI > BERITA

FITCH RATINGS JANGKA DUNIA CATAT PERTUMBUHAN PERLAHAN PADA 2.3 PERATUS TAHUN INI

19/03/2025 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) --Fitch Ratings menjangkakan dunia mencatatkan pertumbuhan perlahan kepada 2.3 peratus tahun ini "jauh lebih rendah daripada unjuran terkini" dan susut daripada 2.9 peratus pada 2024.

Ini, terutamanya disebabkan langkah kenaikan tarif oleh pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan perang perdagangan global, kata kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan. 

“Pertumbuhan lebih perlahan itu menandakan semakan menurun sebanyak 0.3 mata peratusan yang mencerminkan penurunan di ekonomi maju dan ekonomi sedang pesat membangun. Pertumbuhan dijangka kekal lemah pada 2.2 peratus pada 2026," katanya. 

Fitch Ratings percaya perang perdagangan global juga akan “mengurangkan pertumbuhan AS, menaikkan inflasinya dan menangguhkan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed)”.

"Kami telah menurunkan unjuran pertumbuhan AS bagi 2025 kepada 1.7 peratus daripada 2.1 peratus dalam Tinjauan Ekonomi Global (GEO) Disember 2024, dan bagi 2026  kepada 1.5 peratus daripada 1.7 peratus.

“Kadar ini lebih rendah daripada jangkaan terkini dan susut daripada hampir tiga peratus pertumbuhan tahunan pada 2023 dan 2024,” katanya.

Menurut agensi itu pelonggaran fiskal di China dan Jerman akan mengurangkan kesan tarif import AS yang lebih tinggi, tetapi pertumbuhan di zon Eropah tahun ini masih jauh lebih rendah daripada unjuran GEO Disember.

"Mexico dan Kanada dijangka mengalami kemelesetan teknikal memandangkan pendedahan besar perdagangan mereka dengan AS dan kami telah menurunkan unjuran tahunan 2025 mereka masing-masing sebanyak 1.1 mata peratusan dan 0.7 mata peratusan," katanya.

Agensi penarafan itu berkata sejak pengumuman kenaikan tarifnya pada Januari kadar tarif efektif (ETR) AS meningkat dengan ketara kepada 8.5 peratus daripada 2.3 peratus pada 2024 dan dijangka terus meningkat lagi.

“Unjuran ekonomi terkini kami mengandaikan 15 peratus ETR akan dikenakan ke atas Eropah, Kanada, Mexico dan lain-lain pada 2025 dan 35 peratus ke atas China,” katanya.

Dengan kejutan tarif dianggarkan menambah satu mata peratusan kepada inflasi jangka pendek AS, Fitch Ratings percaya Fed akan menangguhkan lagi penurunan kadar sehingga suku keempat 2025.

“Kami kini menjangkakan Fed akan menurunkan hanya sekali sahaja tahun ini, tetapi mengunjurkan tiga lagi penurunan pada 2026 ketika ekonomi menurun dan tahap tarif menjadi stabil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan