KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- PEOPLElogy Bhd telah memeterai perjanjian taja jamin dengan Kenanga Investment Bank Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Syarikat penyedia khidmat perundingan, latihan dan pembangunan tenaga kerja bersepadu yang merentasi tiga segmen niaga iaitu penemuan (bakat), pembangunan dan digital itu dijadual disenaraikan pada suku kedua 2025.
Dalam kenyataannya hari ini, PEOPLElogy berkata IPO itu merangkumi terbitan awam sejumlah 105 juta saham baharu syarikat dengan Kenanga Investment Bank menaja jamin 32.94 juta saham melibatkan 20.59 juta saham untuk orang awam Malaysia menerusi undian manakala 12.35 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak dan telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.
“Daripada baki 72.06 juta saham, sejumlah 51.46 juta akan diperuntukkan kepada pelabur bumiputera terpilih dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala baki 20.60 juta saham untuk pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian,” katanya.
PEOPLElogy berkata hasil IPO itu akan dimanfaatkan bagi membiayai pengembangan perniagaannya, termasuk mewujudkan makmal simulasi komputer Cyber Range; pengembangan menerusi pelaburan strategik, peluang penggabungan dan pengambilalihan; penyelidikan dan pembangunan perisian (R&D); pengembangan pejabat dan pusat latihan di Malaysia Timur, Indonesia dan Filipina selain membuka pejabat serantau di Singapura.
Baki daripada hasil yang terkumpul itu akan digunakan untuk modal kerja am dan perbelanjaan penyenaraian, katanya.
Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusan PEOPLElogy Allen Lee berkata sejajar usaha menyokong aspirasi ekonomi digital Malaysia, cadangan nilai PEOPLElogy adalah bagi melengkapkan individu, perniagaan dan kerajaan dengan kemahiran digital menerusi peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.
“Kami percaya kejayaan IPO ini akan meningkatkan profil perniagaan dan prospek masa depan syarikat dan membolehkan kami memudah cara usaha pengembangan perniagaan di peringkat tempatan dan serantau.
“Menerusi peningkatan keperluan bagi tenaga kerja berkemahiran digital di Malaysia, visi syarikat ini adalah untuk meningkatkan bakat korporat-kebolehgajian untuk menepati permintaan organisasi dan kekal relevan dalam ekonomi berasaskan digital dan pengetahuan,” katanya.
Kenanga Investment Bank berperanan sebagai penasihat prinsipal, penaja, penaja jamin serta ejen penempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial