EKONOMI > BERITA

AFFIN BANK, MUFG MALAYSIA MEMETERAI MOU PERKONGSIAN STRATEGIK

20/03/2025 10:53 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Affin Bank Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MUFG Bank (Malaysia) Bhd untuk memupuk kerjasama perniagaan dan memacu peluang pertumbuhan bersama. 

MOU tersebut memberi tumpuan kepada empat sektor utama iaitu kemajuan perubatan, industri semikonduktor, tenaga hijau dan pelancongan.

Perkongsian itu akan berlangsung secara eksklusif selama tiga tahun, memastikan kerjasama yang berdedikasi serta strategik antara Affin Bank dan MUFG Malaysia, anak syarikat Mitsubishi UFJ Financial Group Inc.

Presiden Affin Bank dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Razy Abdullah berkata kerjasama Affin Bank dengan MUFG Malaysia bertujuan untuk menggabungkan kekuatan Malaysia dan Jepun.

"Perkongsian ini dijangka akan membuka kunci nilai yang signifikan selain meningkatkan keupayaan perbankan kedua-dua bank.

"Kami bangga dapat menandatangani perjanjian ini dengan MUFG Malaysia hari ini kerana ia akan membolehkan kami mencipta nilai untuk pelanggan kami di Malaysia dan berpotensi di seluruh rantau ini," katanya kepada media selepas upacara penandatanganan hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MUFG Malaysia Motohide Okuda, Pengerusi Affin Bank Datuk Agil Natt, Pegawai Pengurusan Eksekutif MUFG Asia Pasifik Masakazu Osawa dan Pengerusi MUFG Malaysia, Datuk Noorazman Abd Aziz.

Wan Razly berkata kerjasama dengan kumpulan MUFG, sebuah bank global dengan rangkaian yang luas di Indonesia, Thailand dan Singapura akan menyediakan Affin Bank dengan platform yang kukuh bagi pengembangan.

"Kerjasama itu pada mulanya akan memberi tumpuan kepada Malaysia, dengan potensi pengembangan ke pasaran Asia Pasifik yang lain pada masa akan datang," katanya. 

Dari segi kesan yang boleh diukur, jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk mengawasi kemajuan perkongsian. 

'Walaupun belum ada sasaran keuntungan tertentu, fokus sebenar adalah untuk memudahkan tawaran berbilion dolar dibuat di Malaysia merangkumi pembiayaan, sokongan dan perkhidmatan penasihat, terutamanya dalam sektor tumpuan," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan