KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pasaran Modal Islam (ICM) kekal sebagai komponen utama pasaran modal Malaysia, yang menyumbang 63.04 peratus kepada keseluruhan pasaran modal.
Suruhanjaya Sekuriti (SC) di dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata ICM mencatatkan pertumbuhan yang stabil, berkembang sebanyak 8.5 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada RM2.42 trilion pada 2023 kepada RM2.63 trilion pada penghujung 2024.
ICM terdiri daripada sekuriti patuh Syariah, dengan jumlah permodalan pasaran RM1.30 trilion, dan sukuk dengan jumlah belum tebus sebanyak RM1.32 trilion.
Bagi sekuriti patuh Syariah, laporan itu berkata pada penghujung 2024, bilangan sekuriti meningkat daripada 811 kepada 822, yang merangkumi 79.11 peratus daripada jumlah 1,039 sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia.
"Permodalan pasaran sekuriti patuh Syariah mencatatkan peningkatan sebanyak 11.71 peratus berbanding penghujung 2023, pada RM1.30 trilion atau 62.96 peratus dari jumlah keseluruhan permodalan pasaran pada Disember 2024," kata SC.
Bagi sukuk, terbitan sukuk korporat mewakili 74.36 peratus (2023: 77.25 peratus) daripada jumlah terbitan bon korporat dan sukuk manakala sukuk korporat belum tebus menyumbang 84.58 peratus (2023: 83.96 peratus) daripada jumlah bon korporat dan sukuk belum tebus.
Jumlah terbitan sukuk pada 2024 mewakili 62.56 peratus (2023: 60.84 peratus) daripada jumlah terbitan bon dan sukuk manakala jumlah sukuk belum tebus mewakili 63.12 peratus (2023: 63.20 peratus) daripada jumlah bon dan sukuk belum tebus.
Sejumlah 20 penerbit menerbitkan sukuk SRI (Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab) dan Sukuk Berkaitan Kemampanan pada 2024, menjadikan jumlah penerbit sukuk SRI kepada 48 sejak klasifikasi ini diperkenalkan pada 2015.
Terbitan sukuk SRI korporat pada 2024 berjumlah RM9.98 bilion, iaitu 10.81 peratus daripada jumlah terbitan sukuk korporat tahun berkenaan, manakala sukuk korporat SRI belum tebus meningkat kepada RM34.46 bilion pada Disember 2024 (2023: RM26.32 bilion), yang mewakili 4.75 peratus daripada jumlah sukuk korporat belum tebus.
Di bawah Pengurusan Dana Islam pula, pada Disember 2024, aset di bawah pengurusan (AUM) Islam berjumlah RM246.09 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 8.82 peratus daripada RM226.14 bilion pada penghujung 2023 dari tahun ke tahun.
Bilangan amaun skim pelaburan kolektif Islam (CIS) seperti dana unit amanah (UTF), dana borong (WF), skim persaraan swasta (PRS), amanah pelaburan hartanah (REIT) dan dana dagangan bursa (ETF), berjumlah 422 pada Disember 2024, termasuk 30 dana SRI Islam.
Di samping itu, terdapat 62 syarikat pengurusan dana yang menguruskan dana Islam, dengan 24 syarikat pengurusan dana Islam sepenuhnya dan 38 syarikat pengurusan dana dengan produk dan perkhidmatan Islam pada Disember 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial