KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Bursa Derivatif Malaysia dijangka melancarkan semula kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal (SSF) pada suku pertama 2025, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.
SC dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata beberapa pengubahsuaian telah dilaksanakan, termasuk memperluas bilangan saham pendasar yang layak kepada 30 saham yang merangkumi semua konstituen FBM KLCI daripada 10 saham sebelum ini.
Pengubahsuaian itu, katanya, merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk merombak dan memperkukuh kontrak SSF.
“Spektrum perubahan itu bertujuan meningkatkan daya tarikan kontrak, terutama untuk kalangan peserta runcit.
“Pelabur runcit boleh menggunakan SSF untuk melindungi nilai portfolio saham mereka atau memanfaatkan peluang dagangan yang membolehkan fleksibiliti lebih besar selain pengurusan risiko," katanya.
Menurut SC, pengubahsuaian lain termasuk mengurangkan saiz kontrak SSF untuk menampung penyertaan runcit dengan saiz kontrak SSF dikurangkan kepada 100 saham bagi setiap kontrak berbanding 1,000 saham untuk setiap kontrak.
Rombakan itu juga, katanya, turut mengambil kira pengubahsuaian had polisi spekulatif dan perubahan kepada pengendalian apabila terdapat tindakan korporat ke atas sekuriti pendasar.
"Menerusi usaha menarik segmen pasaran yang semakin berkembang, inisiatif ini boleh meningkatkan keluasan dan kedalaman pasaran serta memupuk persekitaran dagangan yang lebih pelbagai dan berdaya saing," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial