EKONOMI > BERITA

DANA UNIT AMANAH TERUS JADI KOMPONEN TERBESAR INDUSTRI CIS DENGAN JUMLAH NAV RM546.08 BILION

20/03/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac  (Bernama) -- Dana unit amanah di Malaysia terus menjadi komponen terbesar industri Skim Pelaburan Kolektif (CIS) Malaysia dengan jumlah nilai aset bersih (NAV) RM546.08 bilion dicatatkan pada 31 Disember tahun lepas.

Prestasi itu merupakan peningkatan berbanding jumlah NAV pada 2023 iaitu RM499.88 bilion, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan pada Khamis.

"Peratus jumlah NAV industri dana unit amanah berbanding permodalan pasaran Bursa Malaysia Securities Bhd adalah 26.25 peratus.

"Pada 2024, sebanyak 33 dana unit amanah telah dilancarkan manakala 12 dana ditamatkan dan tiga dana mencapai kematangan, menjadikan jumlah keseluruhan dana unit amanah yang ditawarkan oleh 39 syarikat pengurusan unit amanah yang diperbadankan di Malaysia adalah 775 dana setakat 31 Dis, 2024," menurut SC.

SC menjelaskan industri dana unit amanah mencatatkan jumlah jualan kasar (tidak termasuk pelaburan semula pengagihan) sebanyak RM283.54 bilion pada tahun lepas, yan kebanyakannya diagihkan oleh syarikat pengurusan unit amanah dengan jumlah jualan kasar RM140.5 bilion. 

Secara keseluruhan, industri dana unit amanah merekodkan penebusan bersih (tidak termasuk pelaburan semula pengagihan) sebanyak RM8.59 bilion pada 2024 berbanding RM25.19 bilion pada 2023, tambah badan kawal selia itu.

SC memaklumkan dalam segmen dana borong, jumlah NAV sebanyak RM82.60 bilion telah dicatatkan pada 31 Dis, 2024 berbanding RM77.15 yang direkodkan pada tahun lepas.

Bagi Skim Persaraan Swasta (PRS), bilangan PRS kekal tidak berubah dengan 14 skim yang terdiri daripada 78 dana yang ditawarkan oleh sembilan penyedia PRS. 

"Jumlah keseluruhan NAV meningkat 17.98 peratus kepada RM7.61 bilion pada 31 Dis, 2024 dengan caruman daripada ahli pada tahun berkenaan kekal teguh dengan RM938 juta dilaburkan dalam PRS," menurut SC.

SC menjelaskan jumlah ahli bagi PRS pada 31 Dis, 2024 meningkat 6.61 peratus kepada 617,000.

-- BERNAMA

 

 

 


NBB NBB ZAZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan