EKONOMI > BERITA

RAM RATINGS KEKAL PROSPEK STABIL TERHADAP SEKTOR PERBANKAN MALAYSIA BAGI 2025

21/03/2025 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengekalkan prospek stabil terhadap sektor perbankan Malaysia pada 2025 meskipun terdapat tekanan luaran.

Menurutnya walaupun wujud ketidakpastian daripada langkah perlindungan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik berterusan yang mungkin memberi kesan kepada ekonomi domestik, masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan daripada faktor berkenaan.

Berikutan AS dan China menjadi rakan dagangan utama Malaysia, yang menyumbang 14 peratus daripada jumlah pengeluaran nilai tambah negara, persaingan tarif balas boleh menjejaskan momentum perdagangan yang positif dan trajektori pertumbuhan Malaysia.

“Walaupun berdepan cabaran luaran, kami menjangka profil kredit bank akan kekal stabil, disokong oleh asas yang kukuh; kualiti aset berada pada tahap paling mantap dengan penampan modal yang masih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

RAM Ratings menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan kekal stabil pada 5.5 peratus pada 2025. Pinjaman isi rumah mungkin berkurangan tetapi dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pinjaman manakala pinjaman perniagaan meningkat daripada projek infrastruktur dan pelaburan.

Walaupun masih kukuh, nisbah modal ekuiti biasa peringkat 1 industri menurun kepada 14.3 peratus pada akhir 2024 (purata 2020-2023: 15.3 peratus; akhir 2019: 14.6 peratus).

"Bank menaikkan dividen dengan berhati-hati, dengan kebanyakannya menganggarkan kesan pembaharuan Basel III baharu yang boleh diurus," katanya.

Unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 RAM adalah antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus, walaupun lebih perlahan, akan didorong oleh permintaan domestik memandangkan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan dan kadar faedah yang akomodatif.

Menurutnya aktiviti pelaburan akan mendapat manfaat daripada kemajuan projek infrastruktur bertahun-tahun dan realisasi pelaburan yang diluluskan pada paras tertinggi tahun lepas serta pelaksanaan inisiatif bermangkin di bawah rancangan induk negara yang berterusan.

Faktor-faktor ini dijangka mendorong pinjaman perniagaan. 

Dari segi runcit, pembiayaan rumah akan terus menjadi penyumbang pertumbuhan utama manakala pinjaman kereta dijangka kembali normal sejajar dengan unjuran jumlah industri yang lebih rendah pada 2025.

“Selain itu, trajektori pertumbuhan pinjaman keseluruhan akan bergantung kepada bagaimana risiko luaran global dan penyesuaian domestik terhadap subsidi bahan api serta tarif elektrik yang berlaku,” katanya.

Mengenai kualiti aset, nisbah kos kredit purata terwajar bagi lapan bank tempatan terpilih yang diberi penarafan oleh RAM berkurangan kepada 18 mata asas (bps) pada 2024 (2023: 23 bps).

Perlindungan kerugian pinjaman bank (dengan rizab kawal selia) adalah kukuh, dengan purata lapan bank meningkat kepada 143 peratus sehingga akhir 2024 (akhir 2023: 134 peratus).

Selain itu, RAM Ratings berkata bank digital Malaysia menunjukkan impak awal dalam industri; dengan ketiga-tiga bank yang beroperasi meningkatkan usaha mengumpul deposit sepanjang tahun lepas, didorong oleh akaun simpanan dengan faedah tinggi.

Baru-baru ini ia turut memperluas perkhidmatan dengan menyertakan pemberian pinjaman, memberi tumpuan strategik kepada segmen pelanggan tertentu.

Seperti dijangkakan, ketiga-tiga bank digital ini masih jauh daripada mencapai tahap pulang modal. Aliran suku tahunan menunjukkan bahawa kerugian belum mencapai kemuncaknya disebabkan kos penyediaan yang tinggi.

"Halangan utamanya bergantung kepada mengekalkan pelanggan yang celik teknologi dan peka harga dalam pasaran yang berdaya saing di samping menguruskan kos pembelian dan meningkatkan skala tanpa mengambil risiko yang ketara.

“Setakat ini pemegang saham menunjukkan sokongan kewangan yang kukuh, dengan ketiga-tiga peserta menerima suntikan modal tambahan pada 2024," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan