KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Deposit sistem perbankan berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu sebanyak tiga peratus pada separuh kedua 2024 dipacu oleh pertumbuhan deposit perniagaan pemastautin selain sebahagiannya mencerminkan kos lebih tinggi dan pembayaran balik hutang.
Dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua Tahun 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pertumbuhan deposit perniagaan pemastautin merekodkan pertumbuhan 0.1 peratus tahun ke tahun berbanding 7.5 peratus pada Jun 2024.
Katanya, aliran bermusim dalam persaingan deposit meningkat pada akhir 2024 apabila bank-bank mengumpulkan penampan mudah tunai berikutan jangkaan berlakunya pengeluaran pada akhir tahun, terutamanya oleh pendeposit besar.
“Lantaran itu, kadar faedah ke atas deposit korporat meningkat pada suku keempat. Bagaimanapun, peningkatan kadar deposit korporat diimbangi penurunan kadar faedah deposit tetap runcit susulan langkah-langkah yang diambil bank-bank untuk menguruskan kos dana mereka secara aktif,” katanya.
Tambahan pula, BNM berkata penurunan purata kos dana pasaran wang (Disember 2024: 3.77 peratus; Disember 2023: 3.92 peratus) berikutan pelonggaran kadar dasar global turut mengurangkan kos pendanaan mata wang asing bank-bank.
“Hasilnya, purata kos dana bank-bank menurun kepada 2.78 peratus pada Disember 2024 (Jun 2024: 2.9 peratus). Sejajar dengan perkembangan ini, tiada bukti kukuh yang menunjukkan keadaan kredit mengalami pengetatan yang ketara. Bank-bank terus menyalurkan pinjaman secara kukuh (+5.5 peratus; Jun 2024: +6.4 peratus),” katanya.
Sistem perbankan stabil pada separuh kedua 2024
Secara keseluruhannya, kedudukan mudah tunai dan pendanaan sistem perbankan kekal berdaya tahan terhadap potensi kejutan mudah tunai pada separuh kedua 2024.
Katanya, agregat nisbah perlindungan mudah tunai dan nisbah pendanaan stabil bersih kekal kukuh dan melebihi tahap pengawalseliaan minimum, masing-masing pada 160.7 peratus dan 116.3 peratus pada akhir Disember 2024 (Jun 2024: masing-masing 155.2 peratus dan 115.5 peratus).
Bank-bank terus memegang aset mudah tunai berkualiti yang mencukupi (RM761.1 bilion; Jun 2024: RM762.8 bilion), kebanyakannya dalam bentuk penempatan dengan bank pusat dan pemegangan bon kerajaan yang boleh dicagarkan melalui pasaran antara bank atau dengan BNM untuk mendapatkan mudah tunai tambahan.
Sementara itu, BNM berkata hutang luar negeri bank-bank kekal stabil pada RM445.2 bilion pada separuh kedua 2024 (Jun 2024: RM447.2 bilion).
Dengan peminjaman antara bank terus membentuk sebahagian besar daripada hutang luar negeri bank-bank dengan lebih separuh daripadanya merupakan dedahan dalam kalangan kumpulan.
“Dedahan ini terhasil khususnya daripada bank asing yang diperbadankan di Malaysia yang mendapat dana daripada syarikat induk yang terletak di luar negara serta bank-bank yang terletak di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa bagi memudahkan transaksi yang diatur dan diuruskan oleh ibu pejabat asing," katanya.
Bank-bank juga terus berdaya tahan terhadap risiko pertukaran asing (FX).
Berikutan peningkatan volatiliti pasaran pada separuh kedua 2024, bank-bank aktif menguruskan dedahan mereka dengan mengurangkan kedudukan terbuka bersih FX yang berada pada paras yang lebih rendah iaitu 3.9 peratus daripada jumlah modal (Jun 2024: 5.2 peratus).
Bagi pendapatan bank-bank pula, keuntungan bank-bank pada separuh kedua 2024 terus disokong oleh pendapatan faedah dalam keadaan pertumbuhan pinjaman keseluruhan yang kukuh.
Tinjauan Kestabilan Kewangan Sektor Perbankan
Pendapatan faedah yang lebih tinggi dan pertumbuhan perbelanjaan faedah yang lebih perlahan menyumbang kepada margin faedah bersih yang lebih baik (Disember 2024: 2 peratus; Jun 2024: 1.96 peratus).
BNM berkata nisbah jumlah modal sistem perbankan kekal kukuh pada 18.3 peratus daripada jumlah aset berwajaran risiko (Jun 2024: 18.5 peratus) dengan penampan modal sebanyak RM136.8 bilion (Jun 2024: RM139.5 bilion).
“Penampan ini terus mengekalkan keupayaan bank-bank untuk membekalkan kredit kepada ekonomi serta menyerap kerugian yang tidak dijangka.
"Penampan modal bank-bank terus disokong oleh keuntungan daripada penilaian semula pemegangan bon dalam akaun perbankan, dipacu oleh penurunan dalam kadar hasil bon domestik merentasi semua tempoh antara bulan Jun hingga Disember 2024,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial