EKONOMI > BERITA

KADAR KELULUSAN LEBIH TINGGI, PEMBIAYAAN IKP BERI MANFAAT KEPADA LEBIH 14,000 PERNIAGAAN

24/03/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Lebih 14,000 perniagaan dapat mengembangkan operasi masing-masing seperti yang dibuktikan oleh perolehan jualan dan pengembangan perniagaan yang lebih tinggi seiring dengan peningkatan pembiayaan terkumpul di bawah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP).

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini menjelaskan pembiayaan terkumpul IKP meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM183.3 bilion daripada RM173.5 billion pada 2023.

Jumlah ini menyokong lebih tiga juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro, syarikat permulaan dan golongan berpendapatan rendah. 

"Pembiayaan ini telah menghasilkan impak positif, mewujudkan serta mengekalkan pekerjaan untuk lebih 130,000 individu," tambahnya. 

BNM memalumkan pencapaian itu dibolehkan melalui Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) yang membimbing IKP dalam membangunkan strategi terancang yang mewujudkan hasil tambahan melalui aktiviti perniagaan mereka untuk memberikan nilai tambah kepada sistem kewangan dan ekonomi yang lebih luas. 

Pada 2024, Kumpulan Kerja PMF (PMFWG) ditubuhkan untuk memajukan pelaksanaan PMF yang berkesan di seluruh IKP.

"Sebagai platform kolaboratif, kumpulan kerja tersebut memudahkan dialog terbuka dalam kalangan pihak berkepentingan untuk membincangkan cabaran berkaitan pelaksanaan PMF, menggalakkan perkongsian strategi yang berkesan dan mengintegrasikan kemajuan teknologi untuk menyelaraskan proses pengumpulan data,” menurut BNM.

 

Meningkatkan Akses yang Berterusan kepada Pembiayaan 

 

BNM memaklumkan pada 2024, keadaan kredit kekal menyokong keperluan pembiayaan perniagaan, dengan pembiayaan kepada perniagaan meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding 3.7 peratus pada 2023. 

Daripada jumlah ini, pertumbuhan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terkumpul terus kekal kukuh pada 8.1 peratus berbanding 8.7 peratus pada tahun sebelumnya, disokong oleh pengeluaran pembiayaan yang berterusan terutamanya bagi tujuan modal kerja. 

Menurut BNM, kelulusan pembiayaan PKS baharu meningkat pada 2024 berikutan kadar kelulusan yang lebih tinggi sebanyak 81.5 peratus daripada 80.9 peratus yang direkodkan pada 2023, khususnya bagi sektor pembinaan  

Dana BNM untuk PKS, yang merangkumi 8.0 peratus daripada pembiayaan terkumpul kepada PKS, melengkapi pembiayaan daripada bank dan institusi kewangan pembangunan (IKP).

Sehingga akhir 2024, kira-kira RM5 bilion masih tersedia untuk digunakan. 

"Fokus semasa adalah menyalurkan dana kepada bidang yang selaras dengan keutamaan ekonomi dan pembangunan negara, termasuk mempercepat transformasi digital dan penghijauan PKS," kata BNM.

 

Menggalakkan Tawaran Perlindungan Kewangan yang Inklusif  

 

Pada 2024, 45.5 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu polisi insurans hayat atau sijil takaful keluarga, peningkatan sebanyak 41.5 peratus daripada tahap sebelum pandemik pada 2019. 

BNM menjelaskan polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga lazimnya menyaksikan kadar pengambilan yang lebih tinggi di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, seiring dengan kesedaran yang lebih tinggi terhadap kepentingan perlindungan. 

Sepanjang 2024, terdapat lebih 530,000 langganan produk insurans mikro dan takaful mikro di bawah rangka kerja Perlindungan Tenang (PT). 

Sejak pelancaran dokumen dasar PT yang disemak dan pelaksanaan program baucar PT pada 2021, pengambilan PT kumulatif telah meningkat dengan ketara dan jumlah langganan pada masa ini adalah sebanyak 4.9 juta. 

"Angka ini dianggarkan 49 kali kadar pengambilan sejak rangka kerja PT dilancarkan pada 2017 hingga 2021," tambah BNM.

Sementara itu, tuntutan sebanyak RM17 juta telah dibayar pada 2024, menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus daripada angka pada 2023. 

Pembayaran tuntutan itu meliputi peristiwa kehidupan luar jangka dan peristiwa buruk seperti kematian, kemalangan diri dan penyakit kritikal, tambah bank pusat.

 

Langkah Selanjutnya

 

BNM akan kekal teguh dalam menggalakkan sistem kewangan yang progresif dan inklusif pada 2025. 

Menurut bank pusat, bagi mencapai matlamat itu, usaha akan tertumpu kepada kepada inisiatif untuk memajukan objektif Pelan Sektor Kewangan (PSK) 2022–2026. 

BNM melaksanakan kajian separuh penggal pada 2024 untuk menilai kemajuan strategi PSK semasa dan mengenal pasti pelarasan yang diperlukan termasuk mempercepat sokongan untuk peralihan teratur kepada ekonomi yang lebih hijau.

“Seiring dengan strategi PSK, inisiatif rangkuman kewangan BNM akan dipandu oleh visi dan strategi yang dibentangkan dalam Rangka Kerja Rangkuman Kewangan kedua (2023-2026)," jelas BNM. 

Tambahnya, usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan strategi celik kewangan. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan