EKONOMI > BERITA

FASA PERTAMA PERLIS INLAND PORT BERUPAYA KENDALI 300,000 TEU KONTENA SETAHUN - LOKE

24/03/2025 03:46 PM

PADANG BESAR, 24 Mac (Bernama) — Fasa 1 Projek Perlis Inland Port (PIP) di Chuping, di sini, dijangka siap pada suku ketiga tahun ini berupaya mengendalikan 300,000 bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena setahun.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jumlah itu adalah peningkatan berbanding kapasiti maksimum 150,000 TEU kontena setahun yang boleh dikendalikan di Terminal Kontena Padang Besar (TKPB) ketika ini.

“Sebelum ini, peralihan kargo diadakan di TKPB yang memang sudah tidak dapat lagi menampung permintaan dan satu kawasan baharu telah pun dibangunkan di kawasan Chuping ini beberapa kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

“PIP ini dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan swasta di mana kerajaan telah membelanjakan lebih RM300 juta untuk infrastruktur sokongan iaitu bonded road sepanjang lima kilometer dan juga spur line iaitu landasan kereta api,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian strategik bagi pengoperasian dan penyelenggaraan PIP antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB), anak syarikat Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd, di sini hari ini.

Menurut beliau, pembangunan PIP akan dilakukan dalam tiga fasa berdasarkan permintaan dan dijangka keseluruhan kapasiti akan berupaya menggendalikan satu juta TEU kontena setahun.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Loke berkata pada tahun lepas, pengendalian kontena di TKPB telah meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan laluan kargo aktif dari Prai ke Kantang, Surat Thani dan Bangklam serta dari Pelabuhan Klang ke Hat Yai. 

Aliran trafik kargo dari selatan Thailand yang meningkat sepanjang tahun menyebabkan jumlah pengendalian kontena hampir mencapai 80 peratus kapasiti maksimum TKPB, katanya.

“Oleh itu, operasi TKPB akan dipindahkan ke PIP secara berfasa sebaik sahaja PIP Fasa 1 siap. Peralihan operasi TKPB ke PIP bertujuan bagi menampung aliran trafik kargo dari selatan Thailand serta mengurangkan kesesakan di Padang Besar,” kata Loke.

Dalam pada itu, beliau berkata PIP bukan sahaja berperanan sebagai pemangkin kepada aktiviti industri dan logistik di koridor utara tetapi lokasi strategiknya di sempadan utara negara turut menjadikannya sebagai bakal pusat utama pengendalian kargo antara Malaysia dan Thailand.

Katanya, projek itu dijangka menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi koridor utara dan kesejahteraan rakyat.

“Manfaatnya bukan sekadar untuk rakyat Perlis. PIP akan mewujudkan ekosistem yang lebih berintegrasi untuk industri di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang disokong oleh akses keretapi kepada pelabuhan-pelabuhan utama negara termasuk Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya.

Mengenai perjanjian antara KTMB dengan IPPSB itu, Loke berkata KTMB akan memainkan peranan utama dalam pengendalian kontena, meningkatkan kecekapan penyimpanan dan pengambilan kargo, serta menerapkan amalan terbaik industri bagi mempercepatkan pergerakan perdagangan PIP.

Menurutnya, perjanjian itu merupakan satu langkah penting dalam usaha Kerajaan untuk memperkasakan infrastruktur pengangkutan negara, khususnya dalam sektor perkhidmatan rel dan logistik.

“Perjanjian ini juga merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam memajukan negeri Perlis sebagai hab pengangkutan dan logistik strategik di utara Semenanjung Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan