KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kriteria kelayakan subsidi bahan api bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas (T15) yang akan dimuktamadkan menjelang pertengahan 2025, mungkin mendorong sebahagian pengguna untuk memilih kenderaan lebih murah atau beralih kepada kenderaan elektrik (EV), menurut MIDF Research.
Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya perubahan dasar yang akan datang mungkin mendorong pembeli untuk memilih model enjin pembakaran dalaman (ICE) yang lebih murah atau beralih kepada EV sebelum pengecualian cukai untuk EV yang diimport sepenuhnya (CBU) tamat pada akhir tahun ini.
“Sementara itu, duti eksais yang disemak semula bagi sektor automotif telah dilanjutkan, yang akan memperluas duti ke atas komponen kenderaan dipasang tempatan (CKD).
“Cukai ini yang akan berkuat kuasa pada Januari 2026 dijangka menaikkan harga kereta CKD antara 10 hingga 30 peratus,” kata MIDF Research.
Mengenai prestasi pasaran, MIDF Research berkata jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) Februari 2025 mengalami kenaikan 30.8 peratus bulan ke bulan kepada 63,906 unit disebabkan bulan bekerja yang lebih panjang dan bersifat meluas manakala bagi tempoh tahun ke tahun menyusut 1.7 peratus.
“Ini mewakili 14 peratus daripada unjuran penuh setahun sebanyak 792,000 unit, penurunan sebanyak tiga peratus berbanding tahun lepas sejajar dengan jangkaan berikutan pengurangan jumlah tempahan yang tertunggak.
“Jualan kenderaan Honda merekodkan lebih dua kali ganda, Perodua meningkat 35 peratus bulan ke bulan, diikuti Toyota (21.3 peratus) dan Proton (19.4 peratus). Sebaliknya, Mazda dan Nissan mencatatkan penurunan, masing-masing 9.8 peratus dan 16.2 peratus.
“Hanya Perodua dan Honda yang mencatatkan kenaikan tahun ke tahun dari segi TIV, masing-masing meningkat 14.9 peratus dan 12.6 peratus,” katanya sambil memaklumkan TIV untuk Mac 2025 dijangka menunjukkan peningkatan berbanding bulan sebelumnya, disokong oleh aktiviti promosi menjelang Hari Raya.
Jumlah pengeluaran industri (TIP) Februari adalah 61,545 unit, meningkat 8.2 peratus bulan ke bulan tetapi menyusut 6.2 peratus tahun ke tahun, menjadikan jumlah setakat ini pada tahun ini kepada 118,444 unit, susut 16.4 peratus berbanding tahun lepas, katanya.
MIDF Research memberikan penarafan "neutral," dengan merujuk kepada jangkaan penurunan kitaran
Unjuran penurunan TIV sebanyak tiga peratus tahun ke tahun adalah sejajar dengan penurunan sebanyak 4.5 peratus yang dijangkakan oleh Persatuan Automotif Malaysia, katanya.
“Bermaz Auto kekal sebagai pilihan utama,” kata MIDF Research.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial