EKONOMI > BERITA

AIRASIA JANGKA 2025 JADI TEMPOH "BULLISH", DIPACU PEMULIHAN POSITIF, KESALINGHUBUNGAN

25/03/2025 06:25 PM

SEPANG, 25 Mac (Bernama) -- AirAsia menjangkakan tahun kewangan 2025 menjadi tempoh “bullish” atau tahun peningkatan kukuh, dipacu pemulihan yang positif, pengembangan strategik dan kecekapan operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd Bo Lingam berkata lebih 30 laluan baharu akan diperkenalkan tahun ini untuk mempertingkatkan kesalinghubungan ASEAN dan domestik, sekali gus memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di rantau ini.

“Tahun ini, apabila kami kembali kepada kapasiti penuh, kami akan menyeimbangkan pertumbuhan dengan keuntungan. Strategi rangkaian kami akan mengutamakan kesalinghubungan strategik dan didorong permintaan di seluruh Asia,” katanya pada taklimat media di sini, Selasa.

Beliau berkata tambahan pula, pihaknya dijangka mengendalikan 234 pesawat lorong tunggal tahun ini merentas lima syarikat penerbangan jarak dekat kumpulan itu, mencatatkan kembali kapasiti penuh ketika prapandemik.

“Hanya 16 pesawat yang masih akan diaktifkan semula, manakala penyerahan 14 pesawat baharu telah disahkan bagi 2025, empat daripada Airbus dan 10 melalui pemberi pajak,” katanya.

Bo berkata visi kumpulan adalah menjadikan Kuala Lumpur setanding dengan Dubai sebagai hab penerbangan yang sibuk dan berkelas dunia.

Ketika ditanya mengenai tambahan pesawat baharu, beliau berkata perbincangan sedang rancak dilakukan dengan tiga pihak pembuat -- Airbus, Embraer dan Comac.

Beliau berkata keputusan mengenainya dijangka pada Jun tahun ini, untuk memastikan spesifikasi teknikal pesawat lorong tunggal adalah cekap untuk laluan AirAsia.

Pada Disember tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan berkata AirAsia berhasrat untuk mengembangkan kumpulan pesawat dengan sekurang-kurangnya 100 pesawat baharu untuk menambah bilangan Airbus A321.

Bo berkata pengoptimuman rangkaian AirAsia juga dijangka lengkap menjelang suku kedua tahun ini, dengan peningkatan kekerapan merentas laluan yang mencatatkan permintaan tinggi bermula pada tempoh yang sama.

“Pada masa sama, kami juga sedang menilai laluan baharu untuk memenuhi permintaan perjalanan intra-Asia yang semakin meningkat didorong oleh inisiatif pelonggaran visa merentas pasaran utama termasuk China, India, Thailand dan Malaysia, sejajar dengan trend perjalanan yang berkembang,” katanya.

Beliau berkata AirAsia sedang bertindak balas secara langsung kepada permintaan pasaran dan peluang Fly-Thru dengan sasaran lebih tujuh juta tetamu Fly-Thru tahun ini daripada 4.3 juta pada 2024.

Fly-Thru dijangka menyumbang 10 peratus penumpang tahun ini dengan memanfaatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK) Thailand manakala Kuala Lumpur sebagai hab utama selain memaksimumkan trafik dari Asia Utara, Australia, Asia Tengah dan Timur Tengah, katanya.

“Hab mega kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) dan DMK di Bangkok akan terus meyokong pertumbuhan Fly-Thru, yang kini mengendalikan 95 peratus trafik Fly-Thru.

“Pada masa sama, kami akan mengembangkan hab lain dan berharap untuk menambah lebih 1,700 penerbangan pergi balik mingguan dan 323,336 tempat duduk mingguan di seluruh kumpulan menjelang akhir 2025,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farouk Kamal berkata AirAsia sedang meneroka pilihan pembiayaan semula untuk mengurangkan kos faedah ke atas hutang dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS), yang kini berada pada sekitar 11 hingga 12 peratus.

Beliau berkata dengan mendapatkan pembiayaan daripada bank domestik, kadar itu dijangka diturunkan kepada tujuh hingga lapan peratus.

Farouk berkata langkah itu akan membawa penjimatan kos faedah yang ketara bagi kumpulan.

Pembiayaan itu akan diperoleh melalui institusi perbankan domestik, termasuk kemungkinan terbitan bon domestik, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan