KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan pembinaan, Wawasan Dengkil Holdings Bhd, yang mula disenaraikan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia hari ini merancang untuk mengembangkan perniagaan dengan mendapatkan lebih banyak projek infrastruktur ladang solar.
Pengarah Eksekutif Lim Soon Yik berkata pihaknya menyasarkan kerja-kerja infrastruktur ladang solar tahun ini, terutama susulan pengumuman program Solar Skala Besar 5 (LSS5) pada Disember.
Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat, menumpukan terutama kepada infrastruktur ladang solar serta perkhidmatan kerja-kerja tanah dan kejuruteraan awam.
“Kami telah membuat 44 bidaan tender dengan nilai berjumlah RM1.3 bilion dan jangkaan kadar kemenangan sebanyak 10 peratus,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian Wawasan Dengkil di Bursa Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata daripada 44 bidaan itu, enam bidaan bernilai RM572.2 juta dilaksanakan oleh segmen kerja-kerja infrastruktur ladang solar pihaknya manakala baki 38 bidaan bernilai RM724.8 juta pula oleh segmen perkhidmatan kerja-kerja tanah dan kejuruteraan awam.
Selaras dengan rancangan pengembangan itu, pihaknya menyasar untuk membeli jentera tambahan dan kenderaan komersial bertujuan meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek dan memacu pertumbuhan perniagaan, katanya.
“Ketika kami terus mengembangkan dan menguasai lebih banyak bahagian pasaran, kami juga mencari bakat dan tenaga kerja tambahan kerana kami kini menghadapi kekurangan pekerja mahir,” katanya.
Lim berkata nilai perolehan kontrak belum dibil berjumlah RM378.14 juta dan nilai bidaan tender RM1.3 bilion setakat 28 Jan, 2025 membawa perancangan projek dan kebolehlihatan pendapatan yang positif.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan nilai perolehan kontrak belum dibil akan menyumbang kepada pendapatan syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pada penutupan dagangan, saham Wawasan Dengkil mencecah 23 sen dengan 38.96 juta saham bertukar tangan.
Saham itu dibuka tidak berubah pada 25 sen dengan 2.89 juta saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial