EKONOMI > BERITA

MALAYSIA CATAT 8.7 JUTA PENUMPANG PADA FEB 2025, NAIK 6.9 PCT - MAVCOM

27/03/2025 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Malaysia mencatatkan trafik penumpang udara sebanyak 8.7 juta pada Februari 2025, naik 6.9 peratus dari tahun ke tahun berbanding Februari 2024, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

MAVCOM melalui satu kenyataan hari ini menyatakan walaupun terdapat penurunan sebanyak 5.9 peratus dari bulan ke bulan, permintaan perjalanan keseluruhannya tetap kukuh selepas didorong oleh sambungan yang diperluaskan, pengecualian visa serta tempoh cuti sekolah yang berterusan.

Dari tahun ke tarikh terkini, sejumlah 17.9 juta penumpang telah bergerak melalui lapangan terbang Malaysia. MAVCOM menjangkakan angka trafik penumpang udara bagi 2025 akan berkisar antara 105.8 juta dan 112.9 juta, mengukuhkan momentum berterusan dalam sektor penerbangan," katanya.

Suruhanjaya itu berkata trafik penumpang udara domestik pada bulan yang dikaji semula berada pada 4.3 juta, pertumbuhan sebanyak 6.6 peratus dari tahun ke tahun, manakala trafik penumpang udara antarabangsa mencecah 4.4 juta, mencerminkan kenaikan 7.2 peratus dari tahun ke tahun berbanding tahun sebelum ini.

Trafik udara antarabangsa menyumbang 51.5 peratus daripada jumlah penumpang dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, mengekalkan kedudukannya sebagai segmen dominan.

"Pertumbuhan di pasaran bukan ASEAN adalah sangat mantap, dengan 2.6 juta penumpang telah direkodkan pada Februari, menandakan tambahan 10.0 peratus dari tahun ke tahun, manakala pasaran ASEAN menyaksikan 2.2 juta penumpang, menokok 4.4 peratus dari tahun lepas," katanya.

Tambahan pula, jumlah penumpang di lapangan terbang utama terus melonjak, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan kenaikan sebanyak 7.2 peratus, diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (+8.7 peratus) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (+6.9 peratus).

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menyaksikan pertumbuhan 5.3 peratus manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus dan 1.7 peratus pada Februari 2025.

"Trend pertumbuhan yang positif ini telah dipacu oleh faktor-faktor seperti peningkatan kapasiti tempat duduk, pengecualian visa untuk pelancong dari China dan India, selain pengenalan laluan antarabangsa baharu seperti Kota Kinabalu -Tokyo (Jepun), Kuala Lumpur - Urümqi (China) serta Pulau Pinang - ZhangjiaJie (China)," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata prestasi lalu lintas yang kukuh telah mengukuhkan bahawa sektor penerbangan Malaysia sedang dalam perjalanan ke arah pemulihan dan pertumbuhan.

"Pengenalan laluan baharu serta inisiatif dasar seperti pengecualian visa terus memudahkan sambungan yang lebih besar dan memacu pertumbuhan.

"Sejajar dengan pengembangan dalam permintaan perjalanan, MAVCOM akan terus memberi tumpuan kepada memastikan pemulihan ini dipadankan dengan kualiti perkhidmatan yang baik, perlindungan pengguna yang mantap dan pengawasan peraturan yang baik untuk menyokong ekosistem penerbangan yang berdaya tahan dan sentiasa bersedia untuk ke arah masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan