EKONOMI > BERITA

HARGA EKSPORT MALAYSIA NAIK 0.1 PERATUS, HARGA IMPORT MENINGKAT 0.3 PERATUS PADA FEBRUARI

28/03/2025 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Harga eksport Malaysia pada Februari 2025 naik 0.1 peratus daripada 151.2 mata pada bulan sebelumnya manakala indeks nilai seunit import juga meningkat 0.3 peratus kepada 128.1 mata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia turun 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 118.2 mata pada Februari 2025.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport meningkat 0.1 peratus pada Februari 2025 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (2.5 peratus), makanan (0.7 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (0.6 peratus).

Beliau berkata namun begitu, indeks volum eksport susut 3.8 peratus selaras dengan kejatuhan indeks minyak galian (12.4 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (5.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (4.7 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim naik 2.3 peratus kepada 162.8 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 2.8 peratus dan 3.3 peratus,” katanya dalam kenyataan Indeks Perdagangan Luar Negeri, Malaysia, Februari 2025 pada Jumaat.

Indeks nilai seunit import melonjak 0.3 peratus pada Februari 2025, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (2.0 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (0.4 peratus) dan makanan (0.1 peratus).

Bagaimanapun, indeks volum import merosot 11.6 peratus pada Februari 2025 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh penurunan dalam indeks barang-barang keluaran kilang (17.9 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (15.9 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (11.4 peratus).

Indeks volum import pelarasan bermusim turun 2.0 peratus kepada 208.7 mata manakala perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkurangan 1.4 peratus dan indeks volum bertambah 7.0 peratus.

Terma Perdagangan Malaysia susut 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 118.2 mata pada Februari 2025, didorong oleh kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (2.0 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.5 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (0.1 peratus).

Sementara itu, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 4.2 peratus daripada 113.4 mata pada Februari tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan