Oleh Christine Lim
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Syarikat Jepun berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan mampan lanjutan dalam inisiatif penyahkarbonan Malaysia, kata Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur.
Pengarah Urusannya, Koichi Takano berkata ia boleh jadi dalam bentuk teknologi alam sekitar dan infrastruktur.
Jetro menyasar untuk memudahkan perkongsian ini antara syarikat tempatan dan Jepun menerusi platform Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (AZEC) dalam neutraliti karbon/pelepasan karbon sifar bersih melibatkan 11 negara termasuk Malaysia dan Jepun, katanya.
“Jika mekanisme pengkreditan bersama (JCM) yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dipersetujui antara Jepun dan Malaysia, jumlah projek penyahkarbonan dan pelaburan oleh syarikat Jepun dijangka terus meningkat,” kata Takano dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Semasa lawatan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba ke Malaysia tahun ini, beliau berkata Jepun berhasrat untuk mempercepatkan perbincangan dan menandatangani JCM dengan Malaysia secepat mungkin.
JCM, melalui penggunaan teknologi penyahkarbonan terkemuka dan kredit karbon akan membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan menyumbang kepada pembangunan mampan.
“Susulan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada 2025, ia sudah bersedia untuk menerajui usaha pembangunan mampan di seluruh rantau dalam inisiatif penyahkarbonan,” kata Takano.
Semasa lawatan Ishiba ke Malaysia, kedua-dua negara menyatakan hasrat untuk menggalakkan kerjasama dalam pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon dioksida (CCS), penjanaan tenaga ammonia dan grid tenaga, kerjasama teknikal dalam penukaran tenaga haba lautan dan sektor biojisim, hidrogen dan gas asli cecair.
Beliau berkata kesan berbahaya daripada isu alam sekitar merupakan antara tema utama kepengerusian ASEAN dan Ekspo Dunia Osaka tahun ini, justeru penyahkarbonan menangani perkara tersebut.
Jetro menerbitkan senarai produk dan perkhidmatan dari 47 syarikat Jepun pada 28 Mac yang menyumbang kepada penyahkarbonan di Malaysia di tapak webnya.
Pautan halaman webnya adalah https://www.jetro.go.jp/malaysia/research/_518451.html
Produk dan perkhidmatan dikelaskan mengikut enam tuil peralihan tenaga dan 10 projek pemangkin utama dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), tonggak dasar penyahkarbonan Malaysia seperti yang diumumkan pada 2023.
"Setiap pejabat Jetro di ASEAN juga telah menyediakan katalog penyahkarbonan ini. Kami ingin meneroka peluang untuk syarikat Jepun di Malaysia dan di seluruh ASEAN," katanya.
Menurut tinjauan Jetro, 83.5 peratus syarikat Jepun di Malaysia sama ada secara aktif mengusahakan penyahkarbonan atau mempunyai rancangan untuk berbuat demikian, peratusan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN utama,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan Jepun juga giat menyokong usaha penyahkarbonan di negara ASEAN, katanya.
Syarikat Jepun Lihat Potensi dalam Pasaran Malaysia
Beberapa syarikat Jepun yang berpangkalan di Malaysia sudah menggunakan perkhidmatan pengiraan dan visualisasi pelepasan gas rumah hijau Zeroboard (GHG) berpangkalan di Jepun, kata unitnya di Thai, Zeroboard (Thailand) Co Ltd.
Pengarah Urusan dan Ketua Perniagaan bagi rantau Asia-Pasifik Zeroboard, Shintaro Suzuki melihat potensi dalam pasaran Malaysia.
Zeroboard adalah antara senarai syarikat dalam katalog penyahkarbonan Jetro, ia telah bekerjasama dengan banyak syarikat di 90 negara.
“Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia untuk mempromosikan pengurusan penyahkarbonan dalam ASEAN,” kata Suzuki kepada Bernama.
Suzuki berkata Zeroboard menyasarkan untuk bekerjasama dengan tenaga, pembuatan, elektronik dan institusi kewangan untuk mengembangkan perniagaannya di Malaysia.
"Kami berhasrat untuk menggalakkan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk menyokong pengurusan penyahkarbonan," katanya.
Di Kuching, Sarawak, Chitose Group mengendalikan kemudahan pengeluaran mikroalga terbesar di dunia, terdapat rancangan untuk mengembangkannya kepada 100 hektar menjelang 2027 daripada lima ketika ini.
Pegawai Eksekutif syarikat induk Chitose Group, Chitose Bio Evolution Pte Ltd Ryosuke Koike berkata kerajaan Jepun telah memberi kira-kira US$400 juta (US$1=RM4.43) untuk mengembangkan pengeluaran mikroalga dan membangunkan produk menggunakan biojisim mikroalga untuk tahun kewangan 2023 hingga 2030.
Chitose Group disenaraikan dalam senarai penyahkarbonan Jetro, selain Malaysia, ia menjalankan operasi di Jepun, Singapura, Brunei, Thailand dan Vietnam.
Ia turut menguruskan pertanian mampan di Cameron Highlands.
"Malaysia adalah pangkalan penting untuk perniagaan fotosintesis kami kerana persekitaran yang sangat menggalakkan. Dibantu dengan iklim yang stabil dan sinaran matahari yang banyak, ia mempunyai persekitaran ideal untuk menghasilkan alga dan tanaman," kata Koike.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial