EKONOMI > BERITA

PETRONAS AKAN BEKERJASAMA DENGAN PIHAK BERKUASA BANTU MANGSA KEBAKARAN DI PUTRA HEIGHTS

02/04/2025 12:01 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk menyalurkan sokongan yang bermakna kepada keluarga yang terkena impak akibat kebakaran gas di Putra Heights, Puchong, Selangor.

Syarikat minyak negara itu melalui satu kenyataan berkata anak syarikat tersenarainya, Petronas Gas Bhd, yang memiliki saluran paip yang terjejas, akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan untuk menilai impak penuh kejadian itu.

Pada masa yang sama, kumpulan itu juga secara proaktif mengambil semua langkah yang diperlukan bagi menjamin keselamatan bekalan gas. 

“Untuk tujuan ini, pasukan berkaitan sedang bekerja keras untuk mengurangkan gangguan, melaksanakan pelan kontingensi termasuk memulihkan operasi dengan selamat serta efisien, dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan.

“Seperti yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke lokasi insiden itu, kami akan menyelaraskan secara aktif dengan kementerian-kementerian yang berkaitan serta agensi -agensi negeri dan persekutuan bagi memastikan usaha bantuan dilanjutkan dan sokongan bermakna digunakan dalam masa yang sangat sukar ini,” katanya

Petronas menegaskan keutamaan sekarang ini adalah memastikan keselamatan orang ramai termasuk memenuhi komitmennya untuk membantu mereka yang terkena dampak dan memelihara keselamatan bekalan gas sambil menyiasat penyebab kejadian itu.

Ia juga mengesahkan bahawa ketiga-tiga stesen petrol berhampiran sekitar insiden itu, PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari telah meneruskan operasi berikutan pelepasan dari pihak berkuasa yang berkaitan.

“Walaupun stesen-stesen ini tidak terjejas secara langsung, mereka ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan protokol keselamatan kami dan dibuka semula selepas penilaian keselamatan menyeluruh selesai.” katanya.

Petronas menegaskan komitmennya yang berterusan untuk keselamatan dalam semua operasinya dan akan terus memberikan kemas kini dari semasa ke semasa apabila maklumat lebih banyak tersedia.

“Buat masa sekarang, kami merayu kerjasama dan kesabaran semua pihak yang terjejas ketika kami bertungkus-lumus bagi menangani keadaan semasa,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan