JOHOR BAHRU, 7 April (Bernama) -- DHL Supply Chain secara rasmi melancarkan Hab Wilayah Selatan Fasa 1 serentak dengan majlis pecah tanah Fasa 2 di Zon Bebas Bandar Lapangan Terbang Senai di sini hari ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM100 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata hab terkini DHL itu menandakan hab pertama DHL Supply Chain di wilayah selatan Malaysia.
Katanya, hab berkenaan juga akan berfungsi sebagai ibu pejabatnya di bahagian selatan.
"Sebelum ini, hab pembuatan dan rantaian bekalan DHL tertumpu di Pulau Pinang dan Selangor, tetapi hari ini, Johor melangkah dengan yakin untuk menjadi pusat perhatian," katanya dalam hantaran status di Facebook.
Lee berkata jumlah pelaburan untuk kedua-dua fasa hab bekalan itu kira-kira RM100 juta merangkumi keluasan lebih 28,614.13 meter persegi.
"Keputusan DHL untuk menubuhkan jejaknya di sini tepat pada masanya dan strategik selain memberi perkhidmatan kepada sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, sains hayat, penjagaan kesihatan serta automotif.
"Kemudahan ini merupakan pengubah permainan dan ia akan menjana lebih daripada 200 peluang pekerjaan berkemahiran untuk penduduk tempatan sambil memberi sumbangan yang signifikan kepada ekosistem logistik di wilayah ini," katanya.
Lee juga berkata DHL menubuhkan menara kawalan serantaunya di hab ini yang direka untuk menghubungkan operasi di seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand.
"Ini akan memperkukuh lagi kedudukan Johor sebagai pusat saraf logistik utama untuk Asia Tenggara selain mengukuhkan peranan kami dalam rangkaian rantaian bekalan ASEAN yang sedang berkembang," katanya.
Sementara itu, Lee berkata kemudahan ini dijangka meningkatkan keupayaan rantaian bekalan dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelbagai industri di wilayah selatan.
"Pembangunan ini menunjukkan kemunculan Johor sebagai pintu gerbang logistik strategik dengan memanfaatkan jarak dekatnya dengan Singapura selain infrastruktur industri yang semakin berkembang," katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial