EKONOMI > BERITA

TRAJEKTORI KECERDASAN BUATAN BERKEMBANG PANTAS, BERISIKO TINGKATKAN JURANG - PM ANWAR

08/04/2025 03:03 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran trajektori kecerdasan buatan (AI) sedang berkembang sepantas kilat dan jika kemajuan digital yang tidak seimbang ini dibiarkan tanpa kawalan, ia berisiko memperdalam jurang yang sedia ada dan meningkatkan ketidaksamaan.

Justeru, dalam hal ini, Perdana Menteri berkata pelaburan dalam literasi digital, infrastruktur, pemerkasaan dan tadbir urus perlu bergerak seiring.

Anwar berkata ekonomi digital adalah bidang yang menjanjikan prospek yang baik namun dalam masa yang sama membawa ketidaksamaan yang ketara dan walaupun transformasi digital di rantau ini sedang berjalan lancar, ia masih tidak sekata.

Beliau berkata demikian menerusi ucaptama pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025, yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan ASEAN perlu meneruskan integrasi ekonomi yang lebih besar di rantau ini, termasuk memperluaskan ketersambungan pembayaran ASEAN.

Beliau berkata rantau ini kini menikmati ketersambungan pembayaran digital antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Hari ini nanti, kita akan melancarkan lanjutan hubungan pembayaran antara Malaysia dan Kemboja, dengan sasaran untuk meliputi semua negara ASEAN yang akan membantu menggalakkan perdagangan dan pelancongan intra-ASEAN,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar merasmikan Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan