EKONOMI > BERITA

TUNE PROTECT, TICKET2U PERKENAL TICKET REFUND INSURANCE BAGI MELINDUNGI PENGGUNA

08/04/2025 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 8 April  (Bernama) -- Tune Protect Malaysia menerusi kerjasama platform tiket utama Malaysia, Ticket2U Sdn Bhd memperkenalkan Ticket Refund Insurance bagi mewujudkan piawaian baharu dalam perlindungan acara dengan menyediakan keselamatan kewangan lebih baik kepada pembeli tiket.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jubin Mehta dalam kenyataan hari ini berkata pelan menyeluruh itu meliputi tiket untuk pelbagai acara termasuk persidangan, maraton, larian, konsert, festival dan kejohanan sukan.

Beliau berkata langkah berkenaan bagi memastikan pemegang tiket menerima bayaran balik sepenuhnya jika keadaan tidak dijangka yang menghalang mereka daripada menghadiri setiap acara berkenaan.

"Inisiatif ini mengukuhkan komitmen Tune Protect bagi menyediakan penyelesaian yang mengutamakan pelanggan serta meningkatkan pengalaman acara keseluruhan.

"Perlindungan tersebut meliputi pelbagai situasi tidak dijangka secara menyeluruh termasuk melindungi peserta daripada gangguan seperti kecemasan perubatan, kematian akibat kemalangan, kecemasan rumah iaitu kebakaran atau kecurian, bencana alam dan pengangguran secara tiba-tiba sekali gus memastikan pembeli tiket tidak terbeban dari segi kewangan," katanya.

Mehta berkata perlindungan itu juga meliputi kemalangan jalan raya, kerosakan kenderaan dalam perjalanan ke acara tersebut serta keadaan tidak dijangka yang lain.

"Dengan kehadiran peserta acara yang semakin meningkat, kami memastikan pelanggan dapat menikmati sepenuhnya acara kegemaran mereka tanpa tekanan selain menyedari mereka mempunyai jaringan keselamatan yang boleh dipercayai," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ticket2U Sdn Bhd, YC Chia berkata pihaknya memberikan tumpuan terhadap peningkatan pengalaman tiket sekali gus perlindungan itu menandakan satu langkah penting ke arah menetapkan piawaian industri baharu.

“Perlindungan ini memberi jaminan terhadap pembeli tiket iaitu mereka dilindungi jika perkara yang tidak dijangka berlaku selain mengukuhkan kepercayaan di antara penganjur acara dengan peserta," katanya.

Dalam pada itu, menurut Tune Talk, pembelian Ticket Refund Insurance yang dikenakan caj hanya lima peratus daripada harga tiket merupakan tindakan pantas dan mudah selain pengunjung acara boleh memilih tiket di Ticket2U.

Kata syarikat itu lagi, pengguna boleh memilih Ticket Refund Insurance semasa daftar keluar serta melengkapkan pembelian selain perlindungan diaktifkan secara automatik.

"Proses tuntutan juga lancar dengan pelanggan boleh menyerahkan tuntutan secara terus kepada Tune Protect melibatkan dokumentasi yang diperlukan sebelum tuntutan diproses. Bayaran balik yang layak akan dikeluarkan dengan segera," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan