Oleh Muhammad Faiz Baharin
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- ASEAN perlu proaktif dalam merangka strategi yang bukan sahaja responsif kepada cabaran semasa tetapi juga berfikiran kehadapan untuk mencapai kemakmuran jangka panjang.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menteri kewangan, gabenor bank pusat, penggubal dasar dan pengawal selia bersama-sama memikul tanggungjawab besar untuk memastikan dasar dan keputusan ditumpukan kepada mencapai kestabilan ekonomi, pertumbuhan mampan dan rangkuman kewangan.
Beliau berkata tumpuan bukan sahaja membangunkan semula apa yang kita hilang, tetapi juga untuk merebut peluang baharu sejajar dengan apa yang ASEAN inginkan untuk rakyat mereka.
"Masa depan ASEAN penuh potensi, hasil daripada kerancakan ekonomi dan peningkatan hubungan di seluruh rantau ini. Dengan gabungan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) lebih daripada US$3.98 trilion (US$1 = RM4.49), kita telahpun menjadi satu daripada ekonomi paling pantas berkembang di dunia.
"Walaupun terdapat cabaran pada masa depan seperti ketegangan perdagangan dan isu geopolitik, asas kita kekal kukuh, dan perdagangan intra-ASEAN terus memainkan peranan besar dalam kemakmuran bersama kita. Secara bersama-sama kita mempunyai potensi untuk meneraju perdagangan, kewangan, dan inovasi, selagi kita terus dapat menyesuaikan diri dan berganding bahu bersama," katanya.
Amir Hamzah berkata demikian menerusi ucapan alu-aluan majlis makan malam yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata ASEAN boleh mengukuhkan daya tahannya, mengatasi cabaran global dan memastikan kemakmuran yang berkekalan melalui kerjasama yang berterusan.
“Ini semua tentang membina hubungan yang lebih kukuh, sama ada meningkatkan pasaran modal kita, memperkemas peraturan atau meningkatkan infrastruktur.
“Dengan memudahkan pergerakan bebas barangan, perkhidmatan dan modal merentas sempadan, kita boleh mewujudkan rantau yang lebih berdaya saing, menarik pelaburan dan menyokong perniagaan kita,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Amir Hamzah berkata Malaysia memberi tumpuan untuk menerajui rantau ini dalam pembangunan mampan dan pelaburan hijau dalam peralihan tenaga, khususnya tenaga solar, kenderaan elektrik dan infrastruktur hijau.
"Masa depan yang ingin kita bina ialah masa depan yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kemampanan alam sekitar. Kita faham bahawa kemajuan ekonomi tidak harus datang dengan mengorbankan sumber asli kita, dan penting untuk kita terus menyepadukan kemampanan ke dalam strategi pembangunan kita," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial