Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Para menteri kewangan ASEAN hari ini mula sibuk dengan usaha untuk mewujudkan prasyarat dan inisiatif yang diperlukan bagi memperkukuh integrasi kewangan lebih-lebih lagi susulan tarif yang menjejaskan semua negara anggota.
Ketika berlangsungnya Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, penting untuk kalangan menteri mencapai konsensus mengenai isu penting seperti sistem pembayaran dan mempermudah rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk perniagaan kecil.
Isu kewangan serantau utama menjadi lebih penting dan memerlukan tindakan segera dari 10 negara anggota kerana ASEAN sedang bergelut dengan bebanan kesan buruk tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang turut menggelisahkan pasaran global dan bursa serantau.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dijadualkan mempengerusikan bersama tiga mesyuarat penting dengan majlis perniagaan utama merangkumi Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ABC) dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).
Mesyuarat bersama badan sektor swasta yang menumpukan kepada isu kewangan itu penting untuk menjadikan Asia Tenggara lebih menarik bagi perdagangan dan pelaburan.
Mesyuarat itu juga penting bagi menguruskan kemungkinan kesan negatif susulan pengumuman tarif yang baru dibuat kurang seminggu oleh AS terutama terhadap pertumbuhan ekonomi serantau.
Sukar untuk tidak mengendahkan langkah tarif Trump ketika berlangsungnya AFMGM ke-12 ini memandangkan kalangan negara Indo-China ASEAN adalah antara yang paling teruk terkesan ekoran tarif balas itu.
Kemboja menghadapi levi import sebanyak 49 peratus, diikuti Vietnam (46 peratus), Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus), Malaysia dan Brunei masing-masing 24 peratus dan Singapura dikenakan tarif asas 10 peratus.
Selain itu, Amir Hamzah akan mengetuai Permukiman Menteri Kewangan ASEAN di Merdeka 118, bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan yang kedua tertinggi di dunia.
Menteri Kewangan II itu juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Ketua Pegawai Eksekutif JP Morgan Asia Pasifik, Sjoerd Leenart dan Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masati Kanda, sebelum menghadiri majlis makan malam gala.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis makan malam gala itu yang akan berlangsung di Menara Kuala Lumpur (KL) yang ikonik.
Antara yang dijangka hadir di majlis makan malam gala itu ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri Brunei, Dato Dr Amin Liew Abdullah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei; Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan Kedua Singapura, Chee Hong Tat; dan Menteri Kewangan Vietnam, Nguyen Van Thang.
Sebagai sebahagian daripada AFMGM, BNM akan menganjurkan ‘Dialog Tokoh: Integrasi Kewangan ASEAN dalam Dunia Multipolar’, manakala Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengadakan Persidangan Pelaburan ASEAN 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial