EKONOMI > BERITA

ASEAN AKAN NAIK TARAF FTA DENGAN AUSTRALIA, NZ TIDAK LAMA LAGI, DI SUSULI CHINA DAN INDIA

09/04/2025 01:18 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- ASEAN, yang kekal komited menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia adanya bagi memastikan ia kekal relevan dan berkesan akan menyaksikan FTA ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) dinaik taraf pada 21, April 2025.

“Selain itu, ASEAN juga sedang berusaha menandatangani FTA 3.0 ASEAN-China yang dinaik taraf dan memuktamadkan semakan Perjanjian Perdagangan dan Barangan ASEAN-India tahun ini,” kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menerusi  ucaptamanya pada hari kedua Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC), di sini, hari ini.

Beliau berkata mesyuarat khas Menteri Ekonomi ASEAN esok akan menilai kesan tarif menyeluruh Amerika Syarikat (AS) ke atas setiap negara anggota blok itu serta perjanjian kolektif ASEAN.

Tarif ke atas 10 negara anggota berbeza dari serendah 10 peratus hinggalah setinggi 49 peratus.

“Langkah-langkah ini (tarif AS) telah membawa gelombang kejutan terhadap sistem perdagangan global dan menyerang asas perdagangan dan pelaburan korporat yang telah menyokong pertumbuhan dan kemakmuran ASEAN selama beberapa dekad,” katanya.

Berikutan ini, kata Kao, usaha mengukuhkan bon serantau bukan lagi satu pilihan tetapi merupakan langkah strategik bagi ASEAN ketika perkumpulan itu berdepan ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat dan ketidaktentuan ekonomi.

"Dalam mendepani masalah ini, ASEAN perlu berpegang teguh pada ciri-ciri terasnya, keterbukaan, daya tahan dan perpaduannya. Kita perlu memperdalam ikatan serantau kita, memanfaatkan kekuatan sedia ada 670 juta rakyat kita, memanfaatkan potensi bersama kita yang besar dan mempelbagaikan pasaran dan rakan dagang kita,” katanya.

AIC diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan.

Mesyuarat itu, yang berlangsung dari 7-10 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, berfungsi sebagai salah satu platform utama bagi ASEAN untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan daya tahan kewangan secara kolektif.

Kao berpendapat antara strategi bagi mengukuhkan ketersambungan ASEAN ialah matlamat untuk menjadi hab rantaian bekalan global, membina transformasi rantau ini kepada pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran.

“Selama beberapa dekad, ASEAN giat menghapuskan langkah-langkah tarif dan bukan tarif, memupuk rejim perdagangan dan pelaburan yang harmoni.

“Melalui Perjanjian Perdagangan dan Barangan ASEAN, Perjanjian Perdagangan dan Perkhidmatan ASEAN dan Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN, perjanjian ini telah mengurangkan kos urus niaga rentas sempadan, meningkatkan mobiliti kilang pengeluaran dan mengukuhkan daya tahan dengan memanfaatkan ciri-ciri saling melengkapi antara ekonomi kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan