EKONOMI > BERITA

PASARAN EKUITI, KEWANGAN MALAYSIA MAMPU HARUNGI KETIDAKTENTUAN EKORAN TARIF AS - AMIR HAMZAH

09/04/2025 06:18 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pasaran ekuiti dan kewangan Malaysia berkemampuan untuk mengharungi ketidaktentuan yang diakibatkan oleh tarif Amerika Syarikat (AS) didorong oleh sokongan institusi yang kukuh dan kecairan yang mencukupi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

"Kita semua telah lihat keadaan turun naik sepanjang masa ini. Sama ada anda lihat ketika krisis kewangan Asia, anda lihat semasa tempoh COVID-19, anda lihat kejutan yang melanda sistem, pasaran menunjukkan keadaan turun naik, tetapi ia juga menunjukkan daya tahan serta keupayaan untuk menanganinya.

“Terdapat kecairan yang mencukupi dalam pasaran domestik,” kata Amir Hamzah ketika ditanya mengenai prestasi Bursa Malaysia di tengah-tengah keadaan tidak menentu yang dicetuskan oleh tarif Presiden AS Donald Trump.

Beliau berkata demikian kepada media di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan, di sini, hari ini.

Menurutnya, institusi kewangan tempatan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) biasanya melihat ketidaktentuan pasaran ini bukan sahaja dari segi pelaburan untuk jangka panjang, tetapi juga sebagai masa untuk mereka menentukan semula portfolio mereka dari segi memilih aset berkualiti.

Beliau turut mengimbau semasa tempoh sukar sebelum ini yang menyaksikan paras turun naik di Bursa Malaysia dapat ditangani dengan sokongan institusi yang kukuh.

"Bursa Malaysia tidak mencetuskan pemutus litar dalam tempoh ini. Ia masih menjadi salah satu pasaran yang kekal berdaya tahan. Ringgit juga kekal dalam jajaran setakat ini."

"Jadi, saya fikir ia adalah keadaan yang boleh kita tangani sepanjang tempoh itu," katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan