KOTA BHARU, 10 April (Bernama) -- Hibiscus Petroleum Bhd mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.7 bilion tahun lepas dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) melebihi RM1 bilion bagi tahun ketiga berturut-turut.
Pengerusi Hibiscus Petroleum Zainul Rahim Mohd Zain berkata syarikat turut mencatat purata pengeluaran harian bersih melebihi 20,912 tong setara minyak sehari (boe) pada tahun berkenaan.
Menurutnya selain pencapaian itu, Hibiscus berjaya memperoleh beberapa aset penting termasuk daripada TotalEnergies Brunei yang meningkatkan kapasiti pengeluaran gas.
“Kami turut memperoleh kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) pertama secara langsung daripada Petronas bagi Kluster PKNB yang membuka peluang besar untuk pertumbuhan masa hadapan.
“Selain itu, kami telah memeterai perjanjian sambungan PSC PM3 CAA (kawasan perjanjian komersial) untuk tempoh 20 tahun lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Hibiscus Petroleum di sini hari ini.
Beliau berkata sambungan kontrak ini membolehkan pengekalan pengeluaran daripada medan sedia ada, pembangunan medan baharu yang telah ditemui serta aktiviti penerokaan lanjut di kawasan komersial Malaysia-Vietnam.
Menurutnya syarikat turut menerima dua Anugerah Emas daripada Hiliran Malaysia tahun lepas atas kecemerlangan dalam pelaksanaan projek dan pembangunan telaga.
“Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi dan komitmen seluruh warga kerja. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa usaha keras daripada semua pihak,” katanya.
Zainul Rahim berkata lebih 40,000 individu mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan syarikat itu sepanjang tahun lepas termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Di Kelantan, kami bekerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan bagi menaja 22 usahawan keropok di Tok Bali. Mereka mengikuti pelbagai kursus serta menerima bantuan peralatan seperti mesin pembulat keropok, mesin pemotong dan pengedap bagi memperkasa perniagaan masing-masing,” katanya.
Menurutnya menerusi program Wakalah, Hibiscus Petroleum turut memberi impak positif kepada lebih 8,000 penerima manfaat dengan pelbagai bantuan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan syarikat dalam setiap operasi yang dijalankan sama ada melibatkan pekerja mahupun kontraktor.
“Semua pekerja dan kontraktor perlu sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta orang lain sama ada di tempat kerja mahupun di rumah. Jika budaya keselamatan ini tidak diamalkan, kejayaan sukar dicapai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial