KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pada Februari 2025 mencatat pertumbuhan 1.5 peratus, dipacu oleh peningkatan output sektor pembuatan yang tumbuh pada 4.8 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran output sektor perlombongan dan elektrik bagaimanapun masing-masing susut pada 8.9 peratus dan 2.8 peratus.
“Dari sudut perbandingan bulanan, IPP mencatat penurunan sebanyak negatif 6.8 peratus (Januari 2025: - 0.4 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan IPP Februari 2025 hari ini yang memaparkan statistik merangkumi tiga sektor iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.
Mengulas prestasi sektor perlombongan, Mohd Uzir berkata penguncupan 8.9 peratus dicatatkan sektor perlombongan pada Februari 2025, didorong oleh penurunan pengeluaran output gas asli dan pengeluaran output petroleum mentah dan kondensat yang turun 10.3 peratus dan 6.7 peratus.
Bagi perbandingan bulanan, indeks perlombongan susut kepada negatif 12.5 peratus berbanding negatif 0.5 peratus pada Januari 2025, katanya.
Beliau berkata indeks elektrik turun pada kadar 2.8 peratus pada Februari 2025 berbanding negatif 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.
“Secara perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik kekal dalam jajaran negatif dengan penurunan kepada 6.6 peratus,” katanya.
Di peringkat global, Mohd Uzir berkata IPP bagi beberapa negara menunjukkan aliran penurunan pada Februari 2025, termasuk China (5.9 peratus), Amerika Syarikat (1.4 peratus), Jepun (0.3 peratus), Singapura (-1.3 peratus) dan Thailand (-3.9 peratus).
“Sebaliknya, Taiwan (17.9 peratus), Vietnam (17.2 peratus) dan Korea Selatan (7.0 peratus) menunjukkan peningkatan memberansangkan pada Februari 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial