EKONOMI > BERITA

BIN ZAYED INTERNATIONAL AMBIL ALIH 28 PERATUS KEPENTINGAN DALAM TURIYA

11/04/2025 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Konglomerat pelaburan global Bin Zayed International Group of Companies (BZI) melalui entitinya di Singapura Bin Zayed (S) Pte Ltd mengambil alih kepentingan ekuiti yang besar sebanyak 28.89 peratus dalam syarikat Malaysia Turiya Bhd yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, BZI berkata pengambilalihan itu yang dimuktamadkan pada 26 Mac melibatkan pengambilalihan 66.08 juta saham biasa daripada Khidmat Kejora Sdn Bhd, menjadikan Bin Zayed (S) sebagai antara pemegang saham terbesar Turiya.

Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata perjanjian itu penting memandangkan ia mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi Turiya dan memaparkan komitmen BZI terhadap prospek jangka panjang Malaysia dan ekonomi Asia Tenggara yang lebih luas.

“Sebagai sebahagian daripada strategi meluas kami, kami menumpukan untuk mengenal pasti dan memupuk syarikat yang sejajar dengan nilai teras kami: pertumbuhan yang mampan, kepimpinan yang berfikiran ke hadapan dan model perniagaan yang memenuhi keperluan komersial dan masyarakat.

"Pengambilalihan ini adalah langkah penting dalam perjalanan itu dan menandakan kepercayaan berterusan kami di Asia Tenggara sebagai pusat global bagi peluang," katanya.

BZI berkata pengambilalihan itu seiring dengan strategi pelaburannya meliputi enam sektor berimpak tinggi termasuk hartanah, tenaga mampan dan boleh baharu, infrastruktur dan konsesi kerajaan, teknologi dan perkhidmatan kewangan.

"Langkah ini akan memperkukuh kedudukan global kami dan pada masa sama membuka ruang baharu untuk sinergi dan pengembangan serantau.

“Asas dan kehadiran kukuh Turiya dalam sektor yang dijangka berkembang pesat pada masa akan datang menjadikannya sebagai rakan kongsi yang ideal apabila BZI meningkatkan operasi serantaunya," katanya.

Konglomerat yang beribu pejabat di Emiriah Arab Bersatu itu telah memperluas kehadiran strategiknya di rantau ini selepas menubuhkan pejabat secara rasmi di Singapura dan Malaysia tahun lepas.

Pejabatnya di Malaysia, yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur, diunjurkan menarik lebih daripada US$2 bilion (US$1=RM4.42) pelaburan dalam tempoh lima tahun akan datang, menyasarkan sektor berpotensi tinggi seperti teknologi, tenaga boleh baharu, infrastruktur dan hartanah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan