KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perkenal projek rintis Skim Pemberian Excavator (SPE) dengan kerjasama Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Sugut Paitan, Sabah.
MPOB dalam satu kenyataan berkata projek rintis itu melibatkan peruntukan RM350,000 kepada KPSM Sugut Paitan bagi pembelian sebuah jengkaut, digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan ladang.
“Melalui model simbiotik ini, KPSM bukan sahaja dapat menawarkan perkhidmatan pada kos lebih rendah malah pekebun kecil juga berpeluang menikmati kemudahan infrastruktur lebih baik tanpa menanggung beban kewangan tinggi,” katanya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin dalam kenyataan sama berkata menerusi inisiatif itu, KPSM dapat menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan jalan ladang dengan kadar caj berpatutan dan lebih rendah berbanding harga pasaran
“Ini secara langsung akan mengurangkan beban kewangan pekebun kecil sekali gus meningkatkan aksesibiliti dan kelancaran operasi ladang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata program tersebut juga membuka ruang perkongsian maklumat mengenai kelebihan menyertai KPSM.
“Ia dapat memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil sawit persendirian dalam meningkatkan daya saing dan keberkesanan pengurusan operasi ladang mereka.
“Para pekebun kecil boleh mendapatkan khidmat nasihat penanaman sawit di Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB di negeri Sabah termasuk Pejabat Wilayah Sabah di Kota Kinabalu dan cawangannya di Keningau, Kota Marudu, Beaufort, Beluran, Ranau, Tawau, Kinabatangan, Semporna, Telupid serta Stesen Penyelidikan MPOB Sandakan dan Lahad Datu,” katanya.
Selain itu, MPOB turut memaklumkan bahawa kerajaan meneruskan galakan penanaman semula sawit dalam kalangan pekebun kecil juga melalui Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0).
Menurutnya, insentif berkenaan ditawarkan dalam bentuk geran padanan menerusi Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) dengan RM100 juta telah diperuntukan untuk memberi manfaat kepada 1,500 orang pekebun kecil dengan jumlah keluasan penanaman sawit sekitar 5,900 hektar.
Maklumat terperinci serta borang permohonan TSPKS 2.0 juga boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang www.mpob.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial