SEREMBAN, 11 April (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata F&N AgriValley membentuk komponen utama visi negeri ini untuk menjadi hab tenusu negara, sejajar dengan matlamat strategik yang digariskan dalam Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025.
Beliau berkata F&N AgriValley diselaraskan secara strategik dengan agenda ekonomi dan pertanian negeri ini, memperkukuh inisiatif utama dalam RPNS 2021-2025.
"Bagi mengutamakan daya tahan ekonomi, kemampanan dan keterjaminan makanan, inisiatif ini memainkan peranan penting dalam memajukan penternakan mampan untuk memastikan kejayaan dan mampu diri pertanian jangka panjang," beliau berkata melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Aminuddin menyertai lawatan anjuran Fraser and Neave Holdings Bhd bagi meninjau kemajuan terkini ladang tenusu bersepadu F&N AgriValley di Gemas yang turut dihadiri oleh pegawai dari Kedutaan Chile di Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Semasa lawatan tersebut, delegasi itu turut dibawa meninjau bangsal lembu kosong yang akan menempatkan kumpulan lembu komersial serta rumah perahan susu tidak lama lagi.
Delegasi itu turut diberi peluang untuk melawat kandang lembu yang dilengkapi dengan sistem kawalan alam sekitar pintar yang merangkumi sistem semburan yang tepat, kipas khusus dan bangsal yang dilengkapi dinding membran yang mampu menurunkan suhu bagi keselesaan ternakan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fraser and Neave Holdings Bhd, Lim Yew Hoe merakamkan penghargaannya kepada kerajaan negeri, termasuk pelbagai kementerian serta jabatan ke atas sokongan dan kerjasama yang telah membantu membawa ladang bersepadu ini ke fasanya yang terkini.
"Sejak majlis pecah tanah, kerjasama antara sektor awam dan swasta sangat penting dalam merealisasikan visi kami bersama untuk membangunkan F&N AgriValley menjadi ladang tenusu bersepadu bertaraf dunia.
"Berikutan penggantungan pengimportan lembu dari Amerika Syarikat, kami telah bekerja rapat dengan DVS dan Kedutaan Chile di Malaysia. Melalui usaha kolektif ini, kami berjaya memperoleh protokol import selamat untuk lembu dari Chile dalam masa yang singkat, membuktikan dedikasi dan keberkesanan semua agensi yang terlibat," kata Lim.
Beliau berkata ia juga membolehkan F&N AgriValley membawa masuk kumpulan percubaan sejumlah 165 lembu dari Chile.
Lim menjelaskan sebaik sahaja tiba, lembu tersebut dikuarantinkan selama dua minggu di ladang F&N AgriValley.
"Proses ini berjalan lancar, berkat profesionalisme MAQIS dan DVS, yang mana mereka mempunyai kepakaran serta komitmen dalam memastikan standard tertinggi biosekuriti dan kebajikan haiwan," katanya.
Beliau berkata F&N AgriValley sedang bersiap sedia untuk membawa masuk kumpulan lembu komersial yang akan menyaksikan pengimportan terbesar lembu tenusu ke Malaysia dalam satu kelompok.
Dalam pada itu, Pengerusi Fraser and Neave Holdings Bhd, Tengku Syed Badarudin Jamalullail turut menyampaikan sijil rekod kelahiran anak lembu pertama yang dilahirkan di ladang ini yang dinamakan Che Bedah kepada Aminuddin.
"Kami amat menghargai sokongan berterusan kerajaan negeri, saya diberi kesempatan untuk menamakan anak lembu Chile pertama yang lahir di Gemas.
"Saya memilih nama Che Bedah, nama tradisional, sebagai penghargaan kepada visi kami untuk mengembangkan F&N AgriValley dan Negeri Sembilan menjadi hab tenusu yang berkembang maju dengan identiti tempatan yang kukuh," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial