EKONOMI > BERITA

PULAU PINANG GIAT PELBAGAI DAN KEMBANGKAN PASARAN EKSPORT NEGERI

12/04/2025 07:00 PM

BUTTERWORTH, 12 April (Bernama) -- Pulau Pinang terus giat mempelbagaikan dan mengembangkan pasaran eksport negeri bagi memastikan kemampanan rantaian ekonomi dalam negeri serta negara.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata langkah itu penting khususnya ketika krisis ekonomi global ketika ini susulan pelaksanaan tarif import timbal balas Amerika Syarikat (AS).

"Ketika krisis ini, kita harus mengambil langkah lebih agresif untuk memperkasakan perusahaan tempatan supaya rantaian bekalan dapat diwujudkan secara mampan.

"Saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri untuk mengambil tindakan yang proaktif dan relevan dengan keperluan semasa demi kesejahteraan serta pembangunan ekonomi dan sosial di Pulau Pinang secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Chow memaklumkan pada 2023, AS merupakan negara kedua tertinggi dalam senarai eksport dari Pulau Pinang dengan nilai RM76 bilion bersamaan 17 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negeri.

Beliau berkata negara itu merupakan rakan dagangan utama Pulau Pinang dengan lebihan dagangan bernilai RM 57.7 bilion pada tahun lepas.

"Walaupun kedudukan Pulau Pinang yang sekali lagi menjadi penyumbang eksport utama dalam negara pada Februari 2025 dengan nilai RM9.3 bilion, dikhuatiri akan menerima impak serius susulan pelaksanaan tarif ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Pulau Pinang menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Pemantauan Tarif Pulau Pinang yang bakal berfungsi sebagai platform penyelarasan pusat untuk menjejaki perkembangan perdagangan dan berinteraksi dengan sektor terjejas seperti diumumkan semalam.

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang itu merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Sumber Manusia selaku kementerian peneraju.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan