KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kumpulan Maybank melancarkan Maybank Global Access, penyelesaian inovatif yang mengintegrasikan akaun pelbagai mata wang patuh Syariah yang dikenali sebagai Maybank Global Access Account-i dengan kad debit Mastercard World Maybank Global Access.
Dalam kenyataan hari ini, Maybank Islamic Bhd berkata Maybank Global Access merupakan pilihan mudah untuk pengembara global, menyokong 18 mata wang dan menawarkan kadar keuntungan bonus yang menarik bagi mata wang terpilih, termasuk Ringgit Malaysia.
“Pelancaran kad ini juga tepat pada waktunya, terutamanya dengan cuti Easter yang akan datang untuk ibu bapa Malaysia yang mempunyai anak-anak yang belajar di luar negara serta musim Haji yang bakal tiba.
“Penukaran Tukaran Mata Wang Maybank Global Access juga dilengkapi dengan senarai perhatian yang boleh disesuaikan serta dilengkapi dengan maklumat terkini dan carta trend pasaran untuk memantau pergerakan mata wang,” katanya.
Maybank Islamic berkata pembayaran menggunakan kad debit Maybank Global Access akan ditolak terus daripada baki mata wang yang tersedia dalam akaun pelanggan tanpa sebarang caj tambahan sekali gus membantu menjimatkan kos tersembunyi dan menyediakan kaedah pembayaran alternatif yang lebih luas untuk pelanggan global.
Pemegang akaun akan turut menikmati lima kali pengeluaran mesin teler automatik luar negara secara percuma pada tahun pertama pelancaran akaun ini.
Maybank Global Access turut memastikan keselamatan pemegang akaun dengan menawarkan perlindungan perjalanan eksklusif dua kali ganda, perlindungan perubatan perjalanan sehingga US$100,000 dan perlindungan kemalangan peribadi sehinga RM100,000 oleh Etiqa
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Islamic Datuk Muzaffar Hisham berkata pelancaran ini juga tepat pada masanya dengan musim Haji yang bakal tiba, dan dengan Riyal Saudi sebagai satu daripada mata wang yang disokong, pemegang akaun boleh menunaikan ibadah dengan tenang tanpa membawa banyak wang tunai.
“Tawaran terbaru ini membuktikan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian yang mengutamakan pelanggan yang lancar, inklusif dan mematuhi sepenuhnya prinsip kewangan Islam, selaras dengan strategi M25+ Maybank,” katanya.
Sementara itu, CEO kumpulan perkhidmatan kewangan komuniti Maybank Syed Ahmad Taufik Albar berkata Maybank Global Access memanfaatkan kepakaran dan pengalaman luas dalam pertukaran mata wang asing, kewangan Islam dan perbankan rentas sempadan untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan.
Akaun ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan akaun semasa atau simpanan yang aktif di Maybank atau Maybank Islamic.
Dalam masa terdekat, ia akan turut dibuka kepada bukan warganegara Malaysia yang bermastautin di negara ini.
Pelanggan sedia ada Maybank boleh memohon akaun ini hanya dalam masa beberapa minit menerusi aplikasi MAE tanpa dokumentasi atau lawatan ke cawangan diperlukan, dan hanya dengan deposit minimum RM50.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial