EKONOMI > BERITA

PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN AS, DAGANGAN HIBRID PENTING BAGI EKONOMI MALAYSIA

14/04/2025 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Malaysia perlu mengukuhkan hubungan diplomatiknya dengan rakan utama seperti Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam perniagaan, pelaburan dan keselamatan untuk memastikan pertumbuhan mampan selain mengekalkan perdagangan yang adil dan seimbang.

Pada masa sama, Malaysia juga perlu menumpukan pendekatan hibrid yang mengabungkan perdagangan bebas dan saksama, kata Pengarah Penyelidikan Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL) Anthony Dass.

Beliau berkata Malaysia juga perlu menggunapakai dasar rasional, berteraskan fakta yang memberi manfaat tidak hanya kepada negara tetapi juga perniagaan serta rakyat memandangkan penangguhan tarif AS selama 90 hari itu akan berakhir tidak lama lagi.

“Kita perlu memantau perkembangan global saban hari. Jika tidak, kita akan hanya berbicara mengenai angka penting serta statistik makroekonomi. Tindakan memantau perkembangan global akan membantu perniagaan, khususnya dalam memastikan perusahaan kecil dan sederhana terus peka dengan maklumat terkini.

“Syarikat multinasional dan bank-bank pelaburan global mungkin lebih ke depan, tetapi ekonomi benar, khususnya perniagaan tempatan, kekal kabur (terhadap apa yang berlaku). Inilah sebabnya penting untuk memastikan orang awam terus mendapat maklumat, khususnya pada peringkat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pembentangan mengenai “Malaysia’s Policy Response to Global Challenges pada 2025” di Bursa Malaysia, hari ini.

Dass berkata Malaysia juga perlu mengukuhkan diplomasi perdagangan dengan mendapatkan lebih banyak perjanjian dua hala, meningkatkan penglibatan dalam inisiatif seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) selain perjanjian perdagangan digital.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Malaysia menjadi peneraju dalam memacu perdagangan digital, inisiatif hijau dan amalan alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG) yang menjadi semakin penting bagi perniagaan rentas sektor.

Dass juga melihat potensi dalam pasaran sedang pesat membangun seperti BRICS di tengah-tengah cabaran dan ketidaktentuan dagangan susulan risiko geopolitik serta perubahan iklim.

“Saya melihat BRICS sebagai platform baik bagi peluang perniagaan. Kita adalah sebuah negara perdagangan dan ekonomi benar ini memainkan peranan penting di samping pasaran kewangan.

“Malaysia perlu memberi tumpuan muncul sebagai hab rantaian bekalan dengan mengambil inspirasi daripada negara-negara seperti Vietnam dan Indonesia,” katanya.

Langkah itu akan melibatkan zon ekonomi khas, pembangunan infrastruktur persendirian selain memperkemas dan pendigitalan proses pelaburan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan