KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Keadaan dan asas ekonomi Malaysia masih terkawal, kukuh dan stabil berikutan pelaksanaan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Walaupun setelah penangguhan 90 hari diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kepada lebih 75 buah negara termasuk Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan mengambil dan melaksanakan strategi pendekatan dua hala (bilateral) dan pelbagai hala (multilateral) dipacu oleh tiga keutamaan “reform, engage and diversify”.
Tempoh penangguhan akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan proses rundingan dapat dijalankan dengan AS dalam masa terdekat, katanya.
“Objektif kita adalah untuk menurunkan kadar tarif dan memperluaskan senarai pengecualian untuk eksport Malaysia supaya impak negatif terhadap ekonomi kita dapat dimitigasi.
“AS merupakan antara rakan dagang terpenting untuk Malaysia namun Malaysia mempunyai portfolio perdagangan yang berdiversifikasi (pelbagai) atau tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua pasaran semata-mata,” katanya pada sidang media berkenaan tarif AS di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata pada 2024, jumlah perdagangan dengan Amerika Syarikat adalah 11.3 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan Malaysia.
“Ini bermakna kita masih ada lebih kurang 88 peratus pasaran yang terbuka untuk kita tingkatkan perdagangan kita.
“Tetapi kita juga harus faham bahawa rantaian bekalan dunia amat terkait dengan satu sama lain yang mana kekurangan sesebuah pasaran mungkin akan mengakibatkan domino effect atau impak langsung kepada rantaian bekalan yang melibatkan hubungan ekonomi Malaysia dengan negara-negara lain,” katanya.
Beliau berkata Malaysia masih menghargai pasaran AS dan akan berusaha untuk terus berbincang bagi mencari solusi terbaik untuk hubungan ekonomi Malaysia-AS.
“Bagi keutamaan yang pertama (engage) akan memfokuskan pelaksanaan sesi libat urus dengan Kerajaan AS di setiap peringkat dalam tempoh terdekat dan ketika ini kita masih menunggu tarikh temu janji dari pihak Perwakilan Perdagangan AS (USTR)
“Kedua (diversify) di mana kita akan mempergiat perbincangan proaktif dengan blok-blok ekonomi, negara-negara dan pasaran-pasaran lain untuk memperluas pasaran dan ketiga (reform), iaitu mempercepatkan reformasi ekonomi bagi memperkukuh kapasiti rantaian bekalan domestik dan membantu meningkat kecekalan pengeksport,” katanya lagi.
Manakala keutamaan ketiga (reform) dengan mempercepatkan reformasi ekonomi antaranya Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi memperkukuh kapasiti rantaian bekalan domestik dan membantu meningkat kecekalan pengeksport, katanya lagi.
Beliau berkata Malaysia harus bertindak pantas, namun pada masa sama perlu juga anjal dan fleksibel dalam mengadaptasi perkembangan dan perubahan terkini terutamanya dalam memastikan impak jangka pendek terlindung dan kekuatan ekonomi diperkukuh untuk jangka masa sederhana dan panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial