KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) akan diadakan tidak lama lagi untuk mempercepat pelaksanaan cadangan NGCC termasuk memperkukuh daya tahan perdagangan negara.
Mandat utama mereka yang lain adalah merangka tindak balas dasar terhadap risiko geopolitik semasa serta melindungi kepentingan ekonomi dan pekerjaan rakyat Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Pasukan Petugas itu akan merangkumi wakil Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), pemimpin industri, ahli ekonomi dan pakar dasar.
“Komposisi yang merangkumi sektor awam dan swasta ini penting untuk memastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan dasar kerajaan dan realiti semasa.
“Saya akan terus maklumkan perkembangan lanjut dari Pasukan Petugas ini dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X hari ini.
Tengku Zafrul berkata mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu NGCC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi tumpuan kepada strategi Malaysia dalam menangani impak tarif timbal balas Amerika Syarikat terhadap eksport dan pelaburan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial