KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Syarikat penyedia penyelesaian tenaga kerja tempatan dalam sektor minyak dan gas Raziqin Global Ventures Sdn Bhd (RGV) hari ini mengumumkan usaha sama strategik dengan Neotek Inovasi Global (NIG) dari Indonesia, bagi memperkasa latihan dan pembangunan modal insan dalam industri berkenaan.
Pengarah Urusan RGV Mohd Noorazrul Kamarozaman berkata kerjasama itu bertujuan melatih lebih ramai anak muda tempatan, khususnya dalam bidang unit kerja hidraulik (HWU) yang masih belum diterokai secara meluas di Malaysia.
“Kita dapati di Malaysia, penyedia latihan dalam bidang ini sangat terhad. Oleh itu, kita perlu bawa masuk jurulatih dari luar untuk melatih tenaga kerja tempatan. Hasrat kami adalah melahirkan lebih ramai anak muda berkepakaran dalam bidang ini kerana ia pasaran yang sangat khusus.
“Dalam sektor HWU, pengetahuan masih rendah dalam kalangan tenaga kerja tempatan. Ini menimbulkan masalah kerana kekurangan tenaga pakar untuk memenuhi keperluan projek-projek berkaitan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Operasi RGV Saifful Salleh berkata kerjasama dengan NIG membolehkan latihan berkualiti tinggi disediakan kepada peserta melalui jurulatih berpengalaman daripada syarikat beroperasi hampir dua dekad di peringkat antarabangsa berkenaan.
“NIG telah melatih ramai tenaga kerja di seluruh dunia dan kami mahu pengalaman itu diterapkan di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk menjadi pemain utama dalam pasaran ini. Malah, kami telah berbincang dengan Petronas dan mereka menyambut baik kerjasama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemegang Saham NIG Mohamed K. Bassyouni berkata latihan yang ditawarkan bukan sahaja bersifat teknikal tetapi juga menitikberatkan aspek keselamatan yang amat kritikal dalam industri minyak dan gas.
“Tiada sesiapa dibenarkan bekerja di tapak minyak tanpa latihan dan sijil yang betul. Kami mempunyai pelbagai akreditasi daripada badan antarabangsa yang membolehkan kami melatih, menguji dan mengesahkan kelayakan seseorang untuk bekerja dalam bidang ini.
“Inilah perniagaan utama kami. Menerusi usaha sama dengan RGV, kami mahu memberi impak yang positif kepada pembangunan sumber manusia dalam industri minyak dan gas di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial