EKONOMI > BERITA

KEYFIELD METERAI MOA BELI KAPAL TUNDA PEMASANGAN KABEL BERNILAI US$20.55 JUTA

15/04/2025 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Keyfield International Bhd, Keyfield Ventures (Labuan) Ltd (KVL) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat China, Taizhou Sanfu Ship Engineering Co Ltd untuk membeli kapal tunda pemasangan kabel baharu sepanjang 98 meter.

Kapal berkenaan dilengkapi dengan Sistem Kedudukan Dinamik Tahap 2 (DP2).

Keyfield dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kapal tunda tersebut yang akan dinamakan semula sebagai “Keyfield Blessing” (KBlessing) sedang diperoleh pada harga US$20.55 juta (kira-kira RM90.8 juta).

Selain daripada pembelian tersebut, KVL memeterai perjanjian sewa kapal tanpa kru (bareboat charter) dengan syarikat China, Dejing Group Co Ltd iaitu kapal tunda itu akan disewakan selama satu tahun dengan pilihan untuk disambung selama satu tahun lagi mengikut budi bicara KVL.

“Sepanjang tempoh sewaan kapal tanpa kru berkenaan, Dejing akan menanggung semua kos operasi kapal termasuk pergerakan, kru dan penyelenggaraan manakala KVL hanya akan bertanggungjawab terhadap kos insurans badan kapal dan jentera,” kata Keyfield.

Keyfield berkata pembelian ini bermatlamat mempelbagaikan perniagaannya selain mengurangkan kebergantungan kepada sektor huluan minyak dan gas yang menyumbang hampir keseluruhan kepada  perolehan syarikat.

Katanya, ia juga mahu mengembangkan operasi ke dalam sektor maritim yang lain.

“Oleh itu, kami mengenal pasti KBlessing yang boleh digunakan untuk kerja pemasangan kabel kuasa bawah laut sebagai satu daripada bidang pertumbuhan baharu kami.

“Kapal ini akan disewakan kepada Dejing untuk tempoh satu tahun dengan pilihan lanjutan satu tahun bagi menjana pendapatan serta-merta,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Keyfield berkata KBlessing kini berlabuh di Taizhou, China apabila ia akan diserahkan kepada Keyfield Group dan seterusnya kepada Dejing untuk memulakan tempoh penyewaannya.

“KBlessing kemudiannya akan digerakkan ke lokasi projeknya di Arab Saudi dan akan dihantar semula ke Malaysia atau Singapura setelah kontrak selesai,” kata Keyfield.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Keyfield, Datuk Darren Kee berkata KBlessing merupakan kapal pertama syarikat yang disewa dengan asas kapal tanpa kru yang bermaksud syarikat tidak akan terlibat dalam pengurusan operasi kapal tersebut.

"Memandangkan pemasangan kabel merupakan usaha baharu bagi syarikat kami dan dengan projek yang terletak di Arab Saudi, kami memilih model penyewaan kapal tanpa kru bagi mengurangkan risiko operasi sambil memastikan aliran tunai yang stabil," katanya.

Beliau berkata pelaburan dalam kapal tunda pemasangan kabel DP2 seiring dengan aliran pasaran global serta peluang pertumbuhan jangka panjang.

"Matlamat penyahkarbonan global semakin mempercepatkan projek tenaga angin luar pesisir yang memerlukan infrastruktur kabel kuasa bawah laut yang meluas.

“Mendapatkan KBlessing dan menyewanya dengan segera mampu menawarkan perolehan serta-merta selain perkaitan strategik jangka panjang dalam pasaran yang berkembang pesat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan