EKONOMI > BERITA

PETRONAS LUBRICANTS-QUAKER HOUGHTON BEKERJASAMA PACU SEKTOR KERJA LOGAM PERINDUSTRIAN

17/04/2025 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Petronas Lubricants International (PLI) dan syarikat cecair proses industri, Quaker Houghton membentuk satu kerjasama strategik untuk menyediakan produk, penyelesaian serta perkhidmatan bagi sektor perindustrian utama di Malaysia dan India.

Dalam kenyataan bersama hari ini berkata kedua-dua syarikat boleh memanfaatkan portfolio produk dan kedudukan pasaran geografi masing-masing serta menyediakan rangkaian penyelesaian industri yang diperluaskan kepada pelanggan.

“Bermula pada suku kedua 2025, PLI akan menjadi pengedar eksklusif portfolio cecair kerja logam bertaraf dunia milik Quaker Houghton dalam pengangkutan dan pasaran akhir perindustrian di Malaysia.”

“Di India, Quaker Houghton akan menawarkan rangkaian pelincir penyelenggaraan berprestasi tinggi dan cecair industri milik PLI kepada pelanggan kilang kelulinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan PLI, Domenico Ciaglia berkata PLI komited untuk membina pakatan jangka panjang bagi menyediakan ketersediaan produk yang lebih meluas.

Selain itu, katanya, syarikat mahu menyediakan kualiti perkhidmatan yang lebih baik sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan pilihan dalam pelincir industri global.

“Pasukan di Quaker Houghton berada dalam kedudukan yang unik untuk membuka peluang bersama kami sama ada dari segi meneroka pasaran baharu mahupun sebagai rakan kongsi yang kami perlukan untuk memimpin industri ke era baharu perkhidmatan yang berkesan dan lestari,” kata Ciaglia.

Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif Quaker Houghton (Kepakaran Global) dan Ketua Pegawai Pertumbuhannya, Jeewat Bijlani berkata kerjasama ini membolehkan syarikat menyediakan cecair kerja logamnya kepada lebih ramai pelanggan.

Beliau berkata, Asia juga merupakan satu daripada pasaran utamanya.

“PLI mempunyai pengalaman, reputasi dan saluran yang terbukti untuk menyokong keperluan pelanggan selain mengembangkan capaiannya di Malaysia,” kata Jeewat.

Menurut PLI, kerjasama ini mengukuhkan visi bersama kedua-dua syarikat bagi memacu kecemerlangan penyelesaian industri sambil memenuhi keperluan pengeluaran moden yang semakin berkembang.

Katanya, hal ini kerana kedua-dua syarikat akan bekerjasama selain menetapkan piawaian baharu dalam prestasi untuk aplikasi industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan