KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Malaysia dan China perlu segera mengiktiraf secara bersama piawaian dan pensijilan terutamanya dalam sektor makanan, kosmetik dan produk perubatan, bagi menyelaras proses eksport serta membuka peluang sepenuhnya potensi kerjasama Malaysia-China dalam kalangan perusahan kecil dan sederhana (PKS).
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata langkah ini akan berkesan dalam mengurangkan halangan bukan tarif antara kedua-dua pasaran.
“Sebagai ahli keluarga ‘yang lebih muda’, kami berharap China sedar bahawa kami memerlukan bantuan untuk membina kapasiti dan keupayaan untuk bersaing dan bekerjasama secara adil dengan ahli perniagaan China.
“Pada masa sama, perjanjian perdagangan inklusif seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian dua hala mesti menyertakan bab khusus untuk PKS dengan peruntukan yang praktikal dan boleh dikuatkuasakan bagi menangani ketidaksamaan dalam kapasiti dan kebimbangan kawal selia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, berikutan kawal selia yang rumit dan halangan untuk memasuki pasaran, Ng berkata China kekal sebagai pasaran yang sukar bagi PKS Malaysia.
“Kebimbangan dalam kalangan PKS adalah membabitkan perlindungan hak intelek (IP) China yang kekal sebagai isu utama, terutama ketika menjual produk, jenama dan reka bentuk di pasaran yang amat luas itu.
“Selain itu, sama pentingnya, PKS berdepan cabaran untuk bersaing secara adil dengan firma China susulan sumber, kewangan dan skala yang terhad,” katanya.
Sehubungan itu, China mesti mengiktiraf perbezaan keupayaan ini dan memastikan sebarang hubungan perdagangan dan perniagaan tidak merugikan Malaysia.
Beliau turut meminta kedua-dua kerajaan untuk mewujudkan program hiliran bagi memberi peluang kepada PKS menyertai sektor baru muncul seperti kecerdasan buatan, aplikasi satelit dan tenaga hijau menerusi usaha sama, pembangunan vendor dan penggunaan teknologi.
Selain itu, Ng turut menekankan mengenai kepentingan saluran terbuka dan telus bagi memastikan penyertaan PKS dalam mana-mana projek infrastruktur atau projek ekonomi digital yang dibiayai China di Malaysia.
“Jika China serius untuk membantu PKS Malaysia memasuki pasaran China, kami menggesa China memudahkan kemasukan PKS ke platform digital rentas sempadan, terutama yang dikendalikan oleh firma teknologi China bagi membolehkan pengeluar dan penyedia perkhidmatan tempatan meneroka pasaran China yang luas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial