EKONOMI > BERITA

ADAPTASI AI PEROLEH MOMENTUM DALAM KALANGAN AGENSI, SYARIKAT TEMPATAN - NEC MALAYSIA

17/04/2025 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Agensi dan syarikat tempatan mula mengadaptasi kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi digital mereka, menurut NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd (NEC Malaysia).

Pengarah Urusan Wataru Irie berkata syarikat itu pada masa kini menyediakan penyelesaian teknologi kepada pelanggan daripada pelbagai sektor, termasuk kerajaan, syarikat-syarikat telekomunikasi dan runcit.

“Kami juga bekerjasama dengan mereka untuk memodenkan infrastruktur, memandangkan sesetengah sistem agak ketinggalan zaman.

“Tetapi, proses ini mengambil masa kerana pemindahan daripada sistem sedia ada kepada sistem baharu perlu selamat dan stabil,” katanya pada sidang media selepas lawatan media ke Pusat Pengalaman Pelanggan syarikat itu hari ini.

Pengurus Besar Unit Perniagaan NEC Malaysia Chan Chern Pong berkata membantu syarikat mengadaptasi teknologi baharu boleh menjadi satu cabaran kerana setiap syarikat mempunyai keperluan yang unik.

Bagaimanapun, beliau berkata kewujudan NEC yang telah lama bertapak di rantau ASEAN — menjangkau lebih 60 tahun — bersama-sama akses kepada kumpulan pakar global termasuk yang berpangkalan di Malaysia, memberikan kelebihan tersendiri kepada syarikat dalam menangani cabaran-cabaran itu.

“Kami boleh memanfaatkan sumber di rantau ini atau secara global, dengan mengaplikasikan pengetahuan mereka tentang bagaimana mereka mengintegrasikan platform yang sama dalam projek-projek mereka,” katanya.

Chan menambah NEC telah membina pangkalan data yang bernilai tinggi, membolehkan syarikat itu menawarkan cadangan teknikal dan komersial yang kukuh kepada para pelanggannya.

NEC Malaysia, anak syarikat NEC Corporation, merupakan peneraju transformasi digital yang diiktiraf di peringkat global dengan memiliki 125 tahun dalam inovasi teknologi.

Syarikat itu juga pakar dalam kesalinghubungan pintar, keselamatan awam, perkhidmatan terurus, aplikasi runcit dan pembuatan, infrastruktur, rangkaian protokol internet (IP), keselamatan siber, dan platform multimedia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan