KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Aktiviti utama berkaitan pengagihan atau peruntukan seperti kos, dijangka menyokong kegiatan perdagangan dan pembuatan dalam penggal terdekat ini susulan tempoh penangguhan tarif sementara oleh Amerika Syarikat (AS), kata CIMB Investment Bank Bhd.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata tempoh penangguhan selama 90 hari membabitkan tarif berbeza itu memberi kelegaan sementara bagi negara yang tidak melaksanakan tarif balas, termasuk Malaysia.
Bagi tempoh itu, aktiviti perdagangan – diterajui oleh eksport barangan perkilangan, mungkin kekal disokong oleh penghantaran berkaitan ketika proses rundingan perdagangan dengan AS dijalankan.
“Bagaimanapun, prospek pertumbuhan Malaysia dibayangi kekangan global seperti ketidaktentuan dasar perdagangan AS dan ketegangan perdagangan AS-China yang kian meruncing.
“Momentum pertumbuhan mungkin suram ketika ketidaktentuan perdagangan menghalang perbelanjaan modal serta rancangan pengambilan pekerja," katanya.
Berikutan itu, CIMB Investment Bank mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) setahun penuh pada 4.0 peratus yang mencerminkan risiko kelemahan permintaan luaran serta impak ke atas ekonomi domestik.
Pada masa sama, ia mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan satu penurunan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dalam mesyuarat Julai ini bagi menyokong permintaan domestik.
Bank pelaburan itu berkata unjuran awal menunjukkan pertumbuhan KDNK Malaysia mungkin susut daripada jangkaan kepada 4.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2025 (suku keempat 2024: 5.0 peratus), berbanding unjuran 4.5 peratus dan konsensus Bloomberg pada 4.8 peratus.
Dari segi turutan, ekonomi turun 3.7 peratus suku ke suku yang ketara daripada purata penurunan suku pertama sebanyak 3.4 peratus suku ke suku dalam tempoh tiga tahun lepas (suku pertama 2022–suku pertama 2024).
Namun, wujud kemungkinan KDNK suku pertama 2025 disemak naik berikutan prestasi eksport bersih yang memberangsangkan pada Mac, didorong oleh lonjakan eksport di luar jangka (Mac : 6.8 peratus tahun ke tahun, Feb: 6.2 peratus tahun ke tahun).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial