EKONOMI > BERITA

FORUM PERNIAGAAN DAN PELABURAN JS-SEZ BERMULA ESOK, KETENGAH POTENSI

20/04/2025 08:05 PM

JOHOR BAHRU, 20 April (Bernama) -- Forum Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) selama dua hari akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, esok dengan tema "JS-SEZ: Merapatkan Ekonomi, Memperkukuh Rantaian Bekalan."

Acara itu dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) dan kerajaan negeri Johor.

Menerusi kenyataannya hari ini, MITI memaklumkan acara itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan hampir 1,000 peserta mendaftar, sekali gus memaparkan minat kukuh daripada kedua-dua negara itu.

“Ia menghimpunkan penggubal dasar peringkat tinggi, pemimpin perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pelabur dan wakil industri yang turut menjadikan acara itu antara platform terbesar untuk kerjasama ekonomi Malaysia dan Singapura setakat ini," katanya.

Menurut MITI, kemuncak forum itu adalah peluang bagi peserta mendapatkan sendiri pandangan langsung penggubal dasar peringkat tertinggi, termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan turut merasmikan forum itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Agenda lain forum itu adalah tiga sesi perbincangan panel pada hari pertama yang menampilkan penggubal dasar, kapten atau pemimpin industri dan pakar yang terlibat dalam wacana berimpak tinggi dan mengetengahkan pandangan penting mengenai tawaran unik serta potensi pertumbuhan JS-SEZ.

“Perbincangan turut menyentuh tema seperti ‘Memupuk Pengembangan Perniagaan dan Transformasi Bakat dan Teknologi, 'Inovasi dan Penciptaan Kekayaan dalam Nexus Malaysia-Singapura' dan 'Membina Rantaian Bekalan Sedia Masa Depan,’" katanya.

MITI berkata pada hari kedua, forum itu akan menampilkan seminar rantaian bekalan bertajuk "Membuka Peluang Rantaian Bekalan untuk Syarikat Tempatan, Memperkasakan Ekonomi, Menghubungkan Komuniti".

Sesi padanan perniagaan akan turut diadakan selain sesi "Klinik Perniagaan" untuk hadirin yang memerlukan perundingan peribadi dan sokongan selain menghubungkan peserta secara langsung dengan beberapa syarikat dan agensi utama.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam kenyataan itu berkata MITI berharap dapat bekerjasama erat dengan kerajaan negeri Johor, MTI dan pihak berkepentingan utama lain dalam menjadikan JS-SEZ sebagai destinasi pilihan pelaburan berkualiti untuk memacu pertumbuhan masa depan, penciptaan pekerjaan dan inovasi dalam ASEAN.

“Orde global yang berubah pantas memerlukan negara seperti Malaysia dan anggota ASEAN lain untuk beroperasi bukan sahaja dengan ketangkasan dan fleksibel, tetapi menerusi stamina serta daya tahan.

“Memandangkan JS-SEZ memanfaatkan kekuatan Malaysia dan Singapura yang saling melengkapi, kita juga meningkatkan penjajaran dasar dan infrastruktur serantau, memacu penciptaan nilai merentasi industri kritikal dan mengukuhkan lagi rantaian bekalan ASEAN," katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz pula menyifatkan JS-SEZ dapat membuka lebih banyak potensi ekonomi Johor berikutan hubungan negeri itu dan Singapura yang telah lama menjalin kerjasama ekonomi.

“(Inisiatif ini) akan menyumbang secara signifikan kepada impian Johor untuk muncul sebagai hab serantau bagi sektor seperti ekonomi digital, penyelidikan dan pembangunan, pembuatan termaju, agroteknologi, pelancongan dan logistik.

“Kita juga bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk memastikan dasar properniagaan dapat terus menarik pelaburan berteknologi tinggi (teknologi), bernilai tinggi dan hijau yang mewujudkan peluang pekerjaan denga gaji lebih baik sambil menyokong komitmen Johor terhadap pertumbuhan mampan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan