EKONOMI > BERITA

PM ANWAR SAHKAN SIDANG KHAS DEWAN RAKYAT BAHAS ISU TARIF AS 5 MEI

22/04/2025 02:15 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei ini bagi membincangkan isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas Malaysia.

Perkara ini disahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Ada. 5 Mei,” kata beliau kepada media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan makluman berhubung perkara tersebut.

Tujuan sidang khas ini bagi membolehkan ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak membahaskan isu tarif AS tersebut.

Ia turut melaporkan bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada beberapa ahli Parlimen, mereka masih belum menerima sebarang surat pemberitahuan rasmi mengenai sesi tersebut.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan melawat Washington, AS pada 24 April ini. 

Dalam lawatan selama dua hari itu, beliau akan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer bagi membincangkan isu tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS terhadap Malaysia. 

Dalam lawatan tersebut, delegasi Malaysia juga akan bertemu dengan beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan untuk menerangkan pendirian negara serta maklum balas daripada Kabinet. 

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan