KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ferrotec Holdings Corporation, sebuah syarikat pembekal global dalam bahan termaju, komponen dan penyelesaian sistem berketepatan tinggi melancarkan kemudahan pembuatan berteknologi tinggi yang kedua di Kulim, Kedah, dengan pelaburan hampir RM1 bilion (US$226 juta).
Kemudahan kedua Ferrotec di Kulim akan meliputi hampir satu juta kaki persegi di kawasan seluas 8.09 hektar, menempatkan lebih 700 mesin kawalan berangka komputer (CNC), barisan pengeluaran pintar, sistem berkeupayaan Internet Benda dan keupayaan penyelenggaraan ramalan - sejajar dengan piawaian Industri 4.0.
Dijadualkan siap dalam tempoh setahun, kemudahan itu dijangka menjana lebih 1,000 pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan kapasiti pembuatan ketepatan Ferrotec dengan ketara untuk komponen semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan berterusan Ferrotec menggariskan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor semikonduktor.
“Komitmen ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur dalam dasar, infrastruktur dan bakat kita tetapi juga mengukuhkan matlamat kita untuk menjadi peneraju serantau dalam pembuatan termaju.
“Kami berharap kepada kerjasama yang lebih erat dalam Malaysia melaksanakan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan menggalakkan pertumbuhan berasaskan inovasi dan mampan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, pengembangan tersebut sejajar dengan NIMP 2030 dan inisiatif E10 Kedah, kedua-duanya bertujuan menjadikan negara sebagai hab serantau untuk pembuatan termaju dan transformasi digital.
Majlis pecah tanah Ferrotec dihadiri Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah Noor Ikhsan Abdul Aziz, Pengarah MIDA Kedah Mohd Rushdan Mohd Ghazali, Presiden Ferrotec HangZhou Bao You Wei serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Ferrotec Holdings Corporation He Xian Han.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial