KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd memeterai perjanjian terma bagi melantik Celcom Timur Sabah (CT Sabah) untuk mengendalikan litar terpajak di Sabah dan Labuan.
Dalam satu kenyataan hari ini, U Mobile berkata selepas perjanjian itu dimuktamadkan, syarikat tersebut akan memanfaatkan infrastruktur fiber CT Sabah yang kukuh untuk menyokong dan mempercepatkan pelaksanaan 5G di kawasan tersebut.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, CT Sabah akan menaik taraf tapak rangkaian 4G sedia ada kepada 5G dan membangunkan tapak rangkaian litar terpajak tambahan bagi memenuhi keperluan U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu di negara ini.
“U Mobile akan mendapat manfaat daripada rangkaian fiber CT Sabah yang luas, yang merangkumi lebih 10,000 kilometer di seluruh Sabah dan Labuan, memastikan sambungan yang kuat, stabil, dan berkapasiti tinggi untuk kedua-dua perusahaan dan pengguna di kawasan tersebut,” katanya.
Ketua Pegawai Teknologi U Mobile Woon Ooi Yuen berkata syarikat itu komited untuk mempercepatkan liputan 5G di seluruh negara.
“Dengan CT Sabah bersama kami, ia mengukuhkan lagi keupayaan kami untuk mencapai sasaran pelaksanaan dan menyediakan pengalaman 5G yang lebih baik, sangat boleh dipercayai, menyokong kapasiti yang lebih besar dan menawarkan kelajuan ultra-cepat kepada perusahaan dan pengguna di seluruh Malaysia.
“U Mobile bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam merapatkan jurang digital, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital berpendapatan tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CT Sabah Zurinah Hanafiah berkata syarikatnya komited untuk memajukan ketersambungan digital di Sabah dan Labuan.
“Kami melihat pelaksanaan 5G sebagai langkah penting untuk membuka peluang baharu bagi kawasan ini, dan inisiatif ini akan membantu transformasi digital, memacu pertumbuhan ekonomi, serta meningkatkan kualiti hidup komuniti.
“Kerjasama kami dengan U Mobile adalah pemangkin utama dalam usaha ini, dan kami bangga menyokong pengembangan 5G mereka dengan menyediakan infrastruktur fiber yang kukuh dan boleh dipercayai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial