EKONOMI > BERITA

AUDI MULAKAN PEMASANGAN AUDI Q7 DI PEKAN, PAHANG

24/04/2025 04:33 PM

PEKAN, 24 April (Bernama) -- Audi mula memasang kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya di Asia Tenggara di kilangnya di Pekan, Pahang, yang merupakan satu-satunya kemudahan pengeluaran Audi di rantau ini, menurut satu kenyataan.

Audi merupakan sebahagian daripada jenama kenderaan di bawah Volkswagen Group.

Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM) Susanne Lehmann berkata Malaysia telah dikenal pasti sebagai hab pengeluaran serantau untuk kenderaan Audi di ASEAN.

“Pelanggan akan terus menikmati kualiti, prestasi dan kemewahan Audi yang sama, kini buatan Malaysia,” katanya pada majlis Permulaan Pengeluaran Audi Q7 di sini hari ini.

SUV Audi Q7 merupakan kenderaan tujuh tempat duduk dan berharga antara RM469,000 hingga RM489,000 seunit. Ia akan diperkenalkan ke pasaran Malaysia bulan hadapan.

Kenyataan itu berkata kilang di Pekan yang melibatkan pelaburan awal sekitar RM12 juta, mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 5,000 unit.

Dalam perkembangan berasingan, Lehmann berkata pasaran eksport masa depan syarikat itu akan meliputi Indonesia, Thailand, dan Vietnam.

Beliau berkata keputusan untuk memulakan pengeluaran dengan model Q7 dan bukan model yang lebih kecil atau produk jualan yang lebih tinggi, merupakan langkah strategik untuk mengembangkan portfolio Audi.

“Kami mahu beralih kepada pengeluaran kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat. Ini merupakan langkah pertama yang logik untuk operasi kami di sini.

“Kami bukan sahaja melihat kepada jumlah, tetapi kami mahu membina keupayaan. Kami perlu melatih tenaga kerja kami, memperkenalkan teknologi baharu dan menyediakan asas untuk pengeluaran EV,” katanya.

Syarikat itu sedang dalam perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan tempatan untuk meningkatkan penggunaan komponen dan pembekal Malaysia.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan penyetempatan dan melibatkan lebih banyak pembekal tempatan dalam rantaian bekalan kami, yang akan membantu mengurangkan lagi kos,” katanya.

Lehmann berkata kilang itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, pemindahan kemahiran dan membangunkan rantaian bekalan tempatan.

Mengenai garis masa untuk membuka bahagian badan kenderaan, beliau berkata bahagian badan dan cat melibatkan pelaburan yang besar dan memerlukan pengeluaran sekurang-kurangnya 10,000 kereta setahun.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan