EKONOMI > BERITA

MALAYSIA TUMPU REALISASIKAN GRID TENAGA ASEAN, TINGKAT PROGRAM PERTUKARAN -- TPM FADILLAH

24/04/2025 08:39 PM

Daripada Salawaty Supardi

LONDON, 24 April (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini akan menumpukan usaha bagi merealisasikan Grid Tenaga ASEAN selain meningkatkan program pertukaran berkaitannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata langkah itu tidak hanya meningkatkan keterjaminan, akses dan kemampuan tenaga di Malaysia, malah dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ini penting memandangkan isu berkaitan bekalan tenaga itu turut membabitkan segelintir anggota perkumpulan itu yang tidak dapat mengeksport lebihan tenaga.

“(Sehubungan itu) sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, tumpuan kita adalah Grid Tenaga ASEAN. Sudah pasti, dalam kalangan ASEAN, kita perlu menyokong satu sama lain.

“Oleh itu, tumpuan tahun ini adalah untuk merangka peraturan selain keperluan mengkaji negara lain mengenai kaedah untuk meningkatkan lagi program pertukaran tenaga dalam kalangan anggota ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel sesi perbincangan bertajuk "A Whole-of-System Approach-Addressing the Energy Trilemma" (Pendekatan Menyeluruh Sistem-Menangani Trilema Tenaga) pada Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga pada 24-25 April di sini, pada Khamis.

Topik itu disentuh pada Sesi Pleno 1 bertajuk “Mapping the Energy Security Landscape-Defining a Holistic Approach (Pemetaan Landskap Keterjaminan Tenaga-Mentakrif Pendekatan Holistik).

Ahli panel lain termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Ekologi dan Cabaran Demografi Sepanyol Sara Aagesen Munoz, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Tenaga Iraq Hayyan Abdel-Ghani, Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Mesir Karim Badawi serta Menteri Galian dan Tenaga Colombia Edwin Palma Egea.

Menjelaskan selanjutnya, Fadillah berkata tumpuan ke atas grid tenaga itu akan membolehkan ASEAN mencapai aspek keterjaminannya selain kemampuan dari segi bekalan tenaga dan kerjasama dalam kalangan anggota perkumpulan itu.

“Ini juga dapat memastikan sumbangan terhadap komitmen tenaga bersih untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.

Fadillah berkata Malaysia turut menambah baik dasar tenaga menerusi Pelan Hala Tuju Tenaga Negara (NETR) yang menumpukan usaha memastikan keterjaminan bekalan tenaga di seluruh negara serta di peringkat serantau.

Di samping itu, beliau menekankan bahawa kerjasama di rantau ini menjadi antara bidang tumpuan Malaysia dari segi komitmen terhadap trilema tenaga dalam mengimbangi kemampanan, keterjaminan dan kemampuan.

“Susulan itu, kita telah membentuk jawatankuasa pelaksanaan dan perancangan tenaga elektrik di peringkat tinggi agensi dan kementerian yang akan memutuskan perancangan keperluan serta campuran tenaga bagi masa depan," katanya.

Sidang kemuncak dua hari itu dianjurkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan United Kingdom (UK) yang turut menghimpunkan barisan pembuat keputusan global bagi memajukan tindakan membentuk masa depan keselamatan serta keterjaminan tenaga.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan