EKONOMI > BERITA

UNJURAN KDNK 2025 MALAYSIA MUNGKIN PERLU DITURUNKAN SUSULAN TARIF AS - GABENOR BNM

24/04/2025 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 yang pada masa ini disasarkan antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus mungkin perlu diturunkan berikutan impak daripada tarif Amerika Syarikat (AS), kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Bagaimanapun, katanya, BNM tidak akan tergesa-gesa untuk melaraskan unjuran itu memandangkan belum ada sebarang perkembangan yang muktamad buat masa ini. 

"Sudah tentu, ini (unjuran pertumbuhan Malaysia) perlu diturunkan. Tetapi kami tidak tergesa-gesa untuk melakukannya kerana kami perlu melihat bagaimana ia (tarif timbal balik) diselesaikan.

“Sebagai contoh, ia bergantung kepada bagaimana perkembangan dalam rundingan dan langkah-langkah tindak balas,” katanya pada mesyuarat tahunan dan musim bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang diadakan di Washington semalam.

Abdul Rasheed merupakan antara penceramah pada forum bertajuk ‘Sidang Gabenor – Masa Depan: Malaysia dan ASEAN dalam Landskap yang Berubah-Ubah’.

Menurut beliau, walaupun BNM telah mengambil kira beberapa risiko penurunan pertumbuhan dalam unjuran ekonomi terbarunya yang dikeluarkan pada Mac, perkembangan pengumuman tarif oleh Presiden AS Donald Trump itu adalah di luar jangkaannya.

“Kami baru sahaja mengeluarkan laporan tahunan kami bulan lepas, dan, pada ketika itu, kami telah mengambil kira beberapa andaian (yang) kami percaya agak konservatif.

"Namun apa yang berlaku (tarif Trump) adalah berbeza dan mengejutkan, bukan sahaja di Malaysia malah saya percaya di seluruh dunia," katanya.

Pada 2 April lepas, Trump telah mengumumkan satu siri tarif timbal balik yang dikenakan ke atas banyak negara, termasuk 24 peratus ke atas import barangan dari Malaysia, yang kini ditangguhkan bagi tempoh 90 hari.

IMF menerusi laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025 bertajuk 'A Critical Juncture amid Policy Shifts' yang dikeluarkan pada Rabu, telah menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus daripada 4.7 peratus, seiring dengan penurunan unjuran seluruh rantau.

Meskipun berdepan cabaran luar, Abdul Rasheed menegaskan Malaysia melangkah ke tahun 2025 dengan kedudukan teguh disokong oleh asas domestik yang padu.

"Kami bermula dengan pertumbuhan kukuh tahun lepas, pada 5.1 peratus, mengatasi unjuran awal kami. Ini didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang teguh, peningkatan pelaburan dan eksport barangan yang memberangsangkan.

"Namun begitu, saya fikir ini adalah sesuatu yang kami akan pantau dengan rapat, juga dari segi potensi kesan kewangan yang akan berlaku. Kami akan bertindak sewajarnya," tegasnya.

Abdul Rasheed juga berkata Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membiayai pelaburan dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan langsung domestik (DDI).

Menurutnya, Malaysia menerima pelaburan yang kukuh tahun lepas daripada FDI dan juga DDI, dengan sebahagian besarnya disumbang daripada DDI.

“Kami ada banyak projek menarik daripada beberapa pelan nasional yang diumumkan dua tahun lalu.

“Pelaburan berkualiti tinggi ini mewujudkan aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi, mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan mempunyai hubungan ekonomi domestik yang kukuh, yang akan menyokong pertumbuhan pada 2025,” kata Abdul Rasheed.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kini berada di Washington untuk bertemu dengan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dan pegawai lain yang berkaitan hari ini bagi merundingkan berkenaan isu tarif. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan