EKONOMI > BERITA

BIN ZAYED LABUR AS$500 JUTA DALAM PROJEK KILANG PENAPISAN BAHAN API PENERBANGAN

25/04/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bin Zayed International (M) Bhd (BZI) akan melabur US$500 juta untuk membangunkan kilang penapisan bahan api penerbangan mampan -- kemudahan bersepadu pertama di dunia di Pelabuhan Klang -- yang akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan bagi pengeluaran bahan api penerbangan bersih.

Pengarah Urusan BZI dan Pengarah Eksekutif Bin Zayed (S) Pte Ltd Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata kilang penapisan ini yang dibangunkan dengan kerjasama FatHopes Energy Sdn Bhd (FHE) dijangka  memulakan pembinaan dalam tempoh 12 bulan selepas mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan dan pencapaian penting projek.

"Jumlah anggaran yang diperlukan bagi kilang penapisan ini kira-kira US$500 juta. Kami akan menaja jamin keseluruhan jumlah ini buat masa ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian antara Bin Zayed International dan FatHopes Energy.

Majlis pemeteraian ini disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Projek ini akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan operasi komersial dijangka bermula pada 2029.

Kilang penapisan itu akan disokong oleh stok suapan, atau bahan yang dikumpulkan dalam sistem digital FHE yang akan berperanan sebagai asas untuk kelayakan mengesan yang boleh dipercayai.

Shamir Kumar turut mengesahkan BZI sedang dalam proses untuk memperoleh pegangan ekuiti dalam FHE. Peratusan akhir dan penilaian ini sedang dirundingkan.

"Komitmen kami adalah untuk membiayai keseluruhan pelaburan bagi pembinaan kilang penapisan ini. Keputusan dari segi ekuiti akan dimiliki akan ditentukan sepanjang perkembangan projek ini," katanya.

Mengenai penglibatannya dalam industri SAF, Shamir Kumar berkata kerjasama ini menandakan penglibatan Bin Zayed yang lebih terperinci dalam sektor tenaga boleh baharu di Malaysia dan serantau.

Menurutnya Malaysia menyediakan persekitaran yang sesuai untuk bersaing di peringkat global dari segi pengeluaran SAF.

Ketua Pegawai Eksekutif FHE Vinesh Sinha berkata kilang penapisan ini diwujudkan untuk kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000 tan SAF setiap tahun, yang memerlukan kira-kira 330,000 tan stok suapan.

"Kami kini dalam peringkat kebolehlaksanaan. Kilang ini akan mampu memproses pelbagai bahan buangan dan sisa termasuk minyak masak terpakai," katanya.

Vinesh menekankan industri ini sangat bergantung kepada mandat kerajaan tetapi menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dengan Bin Zayed akan membantu menangani halangan sedemikian.

"Menerusi Bin Zayed Group, saya yakin kami akan mempunyai akses bukan sahaja di Malaysia. Terdapat operasi yang kukuh di Timur Tengah, iaitu satu lagi wilayah yang serius dalam usaha penyahkarbonan," katanya.

Sementara itu Nik Nazmi  dalam ucaptama beliau berkata kerjasama ini selaras dengan visi Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam industri SAF.

"Kita mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menyasarkan campuran SAF sebanyak 47 peratus menjelang 2050, bermula dengan mandat satu peratus. Ia turut menyokong Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia dan Pelan Tindakan Udara Bersih," katanya.

Kerjasama BZI-FHE ini mencerminkan kepimpinan yang diperlukan untuk Malaysia meneraju sektor tenaga bersih dan pengeluaran SAF.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan